KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Neucu Capital Partners (M) Sdn Bhd (NCAP) berjaya memudahkan langganan penuh Nota Pelaburan Tenaga Boleh Baharu sulung, yang diterbitkan oleh NEC Suria Asset I Sdn Bhd (NECSA-I), sebuah syarikat tujuan khas (SPV) infrastruktur di bawah Nexgram Holdings Bhd.
NCAP memaklumkan langganan penuh untuk terbitan pertama itu mencerminkan peningkatan minat pelabur terhadap pendedahan infrastruktur tenaga berstruktur dan disokong aset yang menawarkan profil pendapatan boleh dijangka di samping daya tahan modal jangka panjang.
"Distrukturkan dalam format konvensional dan patuh syariah, nota pelaburan ini akan membiayai penggunaan infrastruktur solar fotovoltaik (PV) bersepadu dan sistem penstoran tenaga (ESS) untuk pengguna komersial dan perindustrian di bawah rangka kerja Kegunaan Sendiri (SelCo) Malaysia.
"Hasil daripada terbitan tersebut akan disalurkan kepada NEC Energy Systems, yang menyediakan bekalan tenaga yang boleh dipercayai 24/7 merentasi kilang, hab logistik dan pusat data melalui perjanjian Tenaga sebagai Perkhidmatan (EaaS) jangka panjang," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.
NCAP memaklumkan pengaturan itu distrukturkan untuk menjana aliran pendapatan yang terikat dengan kontrak dan berulang, di samping membolehkan pengguna akhir mencapai penjimatan kos yang ketara dan kecekapan tenaga yang lebih tinggi.
"NEC Energy Systems menyepadukan teknologi solar PV Tahap-1 dengan penstoran bateri termaju dan perisian pengurusan tenaga pintar yang mengoptimumkan penggunaan secara berterusan, mengurangkan kebergantungan kepada grid dan memaksimumkan output sistem di setiap lokasi projek.
"Pendekatan yang berasaskan teknologi ini menjadi asas kepada kebolehramalan aliran tunai yang direka untuk diraih dan diagihkan melalui struktur nota pelaburan berkenaan," menurut syarikat itu.
Nota tersebut menawarkan kadar keuntungan yang disasarkan sebanyak 12 peratus setahun dengan pulangan diagihkan pada suku tahunan untuk tempoh 36 bulan.
Struktur tersebut menggabungkan sekuriti bersandarkan aset yang disokong oleh aset-aset projek dan sokongan korporat, direka untuk memberikan keterlihatan aliran tunai dan penggunaan modal yang berdisiplin melalui pengaturan projek yang terasing secara kewangan dan undang-undang.
Ketua Pegawai Eksekutif NCAP Asmi Haron berkata modal kini beralih secara progresif ke arah aset-aset infrastruktur yang menggabungkan kepastian pulangan dengan kerelevanan strategik jangka panjang.
"Di NCAP, kami fokus kepada penstrukturan penyelesaian modal yang membuka potensi pembangunan infrastruktur berskala besar.
"Kejayaan memuktamadkan penerbitan NECSA-I ini membuktikan bagaimana penstrukturan yang berdisiplin dan keterlihatan aliran tunai mampu menarik modal swasta ke dalam peluang-peluang infrastruktur berskala besar, sambil mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Nexgram Holdings Henry Cheang berkata langganan penuh tersebut mengesahkan keyakinan pasaran terhadap struktur asas dan pendekatan yang diguna pakai oleh NECSA-I.
"Sebagai sebuah syarikat tersenarai, tadbir urus dan ketelusan adalah asas kepada semua yang kami lakukan. Pendekatan bersandarkan aset ini memberi kejelasan sebenar kepada pelabur tentang bagaimana modal mereka berfungsi dan perkara itu sangat penting.
"Tenaga boleh baharu adalah selari dengan hala tuju Nexgram. Kami sentiasa membina perniagaan berasaskan teknologi dan infrastruktur pintar, dan tenaga bersih merupakan bahagian yang logik dalam naratif tersebut. Keputusan ini menunjukkan pasaran turut mempunyai pandangan yang sama," tambahnya.
Ia berkata platform NECSA menyasarkan untuk menyalurkan sehingga RM500 juta dalam aset infrastruktur tenaga boleh baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan fokus kepada segmen komersial dan industri yang mempunyai permintaan tinggi merangkumi taman perindustrian, hab logistik dan pusat data dengan profil penggunaan tenaga yang kukuh dan boleh dijangka.
Susulan dengan kejayaan menyempurnakan terbitan sulung tersebut, NCAP sedang menyediakan tranche seterusnya untuk memenuhi minat pelabur yang semakin meningkat, membentuk sebahagian daripada saluran inisiatif pembiayaan infrastruktur tenaga boleh baharu yang lebih luas dan berskala.
Nexgram Holdings merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan awam yang tersenarai di Kuala Lumpur. Operasi pelbagai kumpulan tersebut merangkumi telekomunikasi, infrastruktur digital, penjagaan kesihatan, pembangunan hartanah, hospitaliti, automotif dan platform pelaburan.
-- BERNAMA