JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Rempuh Pelajar: Guru Wanita Bakal Didakwa

14/04/2026 01:53 PM

KOTA BHARU, 14 April (Bernama) -- Seorang guru wanita berumur 57 tahun yang disyaki merempuh dua pelajar sehingga mengorbankan seorang daripadanya di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini, Ahad lepas akan didakwa dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada hari ini selepas tamat tempoh reman dua hari.

"Suspek akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat selepas siasatan selesai mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis juga telah selesai merakam keterangan guru berkenaan," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, pemandu boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, serta hilang kelayakan lesen memandu. 

Dalam kejadian pada 1.50 tengah hari itu, mangsa Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu guru wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai tersalah menekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.

Kejadian itu turut mengakibatkan seorang lagi pelajar cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

-- BERNAMA

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544655