JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Ditahan, Dadah Lebih RM630,000 Dirampas Di Miri

14/04/2026 12:35 PM

KUCHING, 14 April (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki serta merampas dadah bernilai lebih RM630,000 dalam dua serbuan berasingan di Miri pada 5 April lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata serbuan pertama di kawasan Desa Murni, Bandar Baru Permyjaya, membawa kepada penahanan suspek berumur 33 tahun itu bersama dengan dadah disyaki jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 150 gram.

Beliau berkata serbuan kedua dilakukan hasil maklumat daripada suspek warga tempatan itu yang membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Lorong Murni, Desa Murni, Bandar Baru Permyjaya.

“Dalam serbuan itu, polis merampas dadah disyaki jenis MDMA dengan anggaran berat 3.37 kilogram. 

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM634,687.50 dan dipercayai boleh menjejaskan kira-kira 4,010 individu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis kini giat memburu saki-baki ahli sindiket yang masih bebas bagi memastikan rangkaian itu dapat dilumpuhkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544626