EKONOMI

Krisis Tenaga Global: Bersederhana, Sikap Rasional Rakyat Penentu Sejauh Mana Negara Bertahan

13/04/2026 10:45 AM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global susulan ketegangan geopolitik dan turun naik harga minyak mentah, persoalan utama kini bukan sekadar menyentuh keupayaan kerajaan mengurus krisis, tetapi sejauh mana kesediaan rakyat memainkan peranan dalam memastikan impaknya dapat diminimumkan.

Reaksi awal rakyat yang juga pengguna bertindak membeli barangan keperluan dalam kuantiti lebih tinggi mungkin dianggap biasa namun lebih penting, ini seharusnya berlandaskan sikap rasional dan terkawal bagi mengelak pembelian panik yang mencetuskan kesan berantai dalam pasaran.

Justeru, pendekatan sederhana seperti mengurangkan pergerakan harian, merancang pembelian secara berhemah dan mengelakkan pembaziran wajar diamalkan kerana turut memberi impak langsung kepada penggunaan bahan api negara.

Realitinya, pengurangan penggunaan secara kolektif juga bukan setakat membantu kerajaan mengekang kos subsidi yang kini melambung, malah berpotensi memanjangkan dari segi tempoh ketahanan bekalan bagi tempoh lebih panjang.

Langkah sebegini, walaupun kecil di peringkat individu, tetapi dapat mencetuskan impak besar apabila dilaksanakan secara menyeluruh oleh masyarakat.

Ini penting selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkongsi mengenai bekalan minyak negara dijangka kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga Jun ini susulan krisis di Asia Barat.

Pada masa yang sama Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak bergantung kepada jaminan itu semata-mata, malah langkah mencari sumber alternatif telah digerakkan dengan lebih awal.

 

Tekanan fiskal dan keperluan pelarasan belanjawan

Dalam menghadapi tekanan luaran, isu utama adalah peningkatan kos subsidi, khususnya jika harga minyak mentah kekal tinggi secara berpanjangan dan kerajaan masih berusaha mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun berdepan tekanan kewangan.

Pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kerajaan kini menanggung kos subsidi petrol dan diesel yang mencecah RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang Amerika Syarikat (AS)-Iran.

Mengulas perkara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, jika purata harga minyak mentah Brent berada pada paras sekitar US$105 hingga US$120 setong secara berterusan, kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan penyesuaian semula Belanjawan 2026 bagi menampung peningkatan perbelanjaan.

“Dalam keadaan itu, defisit fiskal dijangka meningkat melebihi empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding sasaran lebih rendah sebelum ini iaitu sekitar 3.5 peratus,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan masih mempunyai ruang untuk melaksanakan pelarasan dasar bagi menangani tekanan semasa tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi secara keseluruhan.

Pengalaman sewaktu pandemik COVID-19 menunjukkan kedudukan fiskal negara mampu disesuaikan apabila perlu, dengan defisit pernah meningkat kepada sekitar 6.1 peratus pada 2020 dan 6.4 peratus pada 2021 sebelum kembali kepada trajektori penurunan.

“Ini menunjukkan kita masih ada ruang untuk ‘manoeuvre’ (melaksanakan langkah seterusnya), tetapi perlu secara berhati-hati dan bersasar,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata unjuran belanjawan kerajaan sebelum ini dibuat berdasarkan andaian harga minyak mentah sekitar US$60-US$65 setong sedangkan perkembangan semasa menunjukkan harga itu telah melonjak daripada jangkaan awal.

Beliau berkata antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan adalah memperhalusi pelaksanaan mekanisme subsidi agar lebih bersasar memandangkan sebahagian besar manfaat subsidi bahan api ketika ini turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi dengan tahap penggunaan besar.

“Penstrukturan semula subsidi dengan mengurangkan manfaat kepada golongan T10 (10 peratus isi rumah teratas berpendapatan tinggi) dan (tindakan) menyalurkannya kepada golongan B40 serta M40 boleh membantu mengekalkan harga bersubsidi tanpa meningkatkan beban fiskal,” katanya.

Pendekatan sedemikian, kata Mohd Afzanizam, dilihat lebih berkesan berbanding pengurangan kuota penggunaan secara menyeluruh yang berpotensi menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan rakyat.

 

Sokongan kepada perniagaan dan PKS kritikal

Selain pengguna, sektor perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut berdepan tekanan peningkatan kos operasi yang boleh menjejaskan margin keuntungan.

Kerajaan dalam hal ini disaran menyediakan sokongan bersasar termasuk kemudahan pembiayaan mudah, penstrukturan semula pinjaman serta akses kepada kredit bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

“Jika kos meningkat dan margin mengecil perniagaan mungkin terpaksa mengurangkan tenaga kerja. Itu yang perlu dielakkan,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata dalam situasi ekonomi yang berisiko perlahan, suntikan fiskal dalam bentuk bantuan tunai juga boleh menjadi antara langkah efektif untuk merangsang permintaan domestik.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluas, termasuk membolehkan penggunaannya tanpa sekatan tertentu dan disalurkan melalui kaedah pembayaran digital seperti kod QR.

Langkah ini bukan sahaja membantu rakyat, malah memastikan aliran tunai terus beredar dalam ekonomi tempatan khususnya memberi manfaat kepada peniaga kecil.

Pada akhirnya, kejayaan negara dalam mengharungi ketidaktentuan ini bergantung kepada pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerajaan, sektor perniagaan dan rakyat.

“Selain dasar fiskal dan monetari yang responsif, tindakan kolektif rakyat termasuk penggunaan berhemah, pengurangan pergerakan dan disiplin dalam perbelanjaan merupakan komponen penting dalam memastikan kestabilan ekonomi dapat dikekalkan.

“Situasi semasa menuntut semua pihak bertindak secara rasional dan berasaskan maklumat sahih, bukan didorong oleh sentimen panik,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544185