AM

BDR Tidak Jejaskan Produktiviti, Pemantauan Ketat - KPPA

11/04/2026 02:54 PM

KAMPAR, 11 April (Bernama) -- Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam tidak akan menjejaskan tahap produktiviti, sebaliknya mampu meningkatkan kecekapan kerja melalui penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata setiap pegawai yang melaksanakan BDR, diwajibkan memenuhi KPI yang ditetapkan sepanjang tempoh BDR.

Beliau berkata pelaksanaan BDR juga disusun secara sistematik bagi memastikan kelancaran tugasan, termasuk menetapkan hari tertentu untuk pemberian tugasan dan semakan hasil kerja.

“Sebagai contoh, bagi negeri yang bercuti hujung minggu pada Ahad, BDR tidak dibenarkan pada hari Isnin kerana hari tersebut digunakan untuk pemberian tugasan kepada pegawai.

“Manakala pada Selasa hingga Khamis, pegawai perlu mencapai sasaran kerja yang telah ditetapkan, dan BDR juga tidak dibenarkan pada hari Jumaat kerana penyelia akan membuat semakan terhadap output yang dihasilkan,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI serta Sambutan Raya bersama penduduk Kampung Kota Bharu di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Bharu di sini, hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan produktiviti susulan pelaksanaan BDR yang dilaksanakan susulan krisis tenaga global.

Wan Ahmad Dahlan berkata elemen kepercayaan antara majikan dan pekerja turut menjadi asas penting, dalam memastikan kejayaan pelaksanaan BDR dalam perkhidmatan awam.

“Sebagai sebuah perkhidmatan awam yang matang, saya percaya penjawat awam akan mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan kerajaan akan terus mendapat manfaat daripada produktiviti yang dihasilkan,” katanya.

Beliau turut berkata tidak timbul soal kemungkinan terdapat penjawat awam yang mengambil kesempatan ketika BDR, kerana pemantauan rapi telah dilaksanakan melalui penggunaan aplikasi khusus.

Wan Ahmad Dahlan berkata pemantauan dibuat menerusi aplikasi SPOT-Me yang dikendalikan oleh Jabatan Digital Negara, dengan penjawat awam yang menjalankan BDR perlu mendaftar masuk dalam aplikasi itu setiap jam.

“Jadi tidak timbul isu pegawai ‘mengular’ kerana mereka sentiasa dipantau dan yang paling penting ialah hasil kerja atau output yang dicapai,” katanya yang turut berkata maklum balas awal menunjukkan majoriti penjawat awam menyambut baik pelaksanaan BDR kerana ia membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian termasuk kos pengangkutan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2543668