PASARAN

Niaga Hadapan MSM Dijangka Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan Susulan Aktiviti Ambil Untung

11/04/2026 10:49 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan aktiviti pengambilan untung minggu depan, dengan harga diunjur diniagakan antara RM4,200 satu tan dan RM4,300 satu tan, kata peniaga.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata paras harga semasa dilihat mempunyai daya tarikan sekali gus mendorong sebahagian pelabur spekulatif menjual pegangan mereka dalam ketidaktentuan geopolitik yang berlarutan.

“Spekulator keluar daripada pasaran minyak sawit, sebahagiannya disebabkan situasi konflik di Asia Barat. Harga tenaga yang rendah turut menjejaskan sentimen pasaran minyak sawit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata permintaan terhadap MSM fizikal dijangka disokong oleh negara pengimport utama termasuk China, Pakistan, India, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak April 2026 menyusut RM254 kepada RM4,491 satu tan, Mei 2026 rendah RM299 kepada RM4,500 satu tan dan Jun 2026 berkurangan RM301 kepada RM4,538 satu tan.

Kontrak Julai 2026 susut RM293 kepada RM4,551 satu tan, Ogos 2026 menyusut RM285 kepada RM4,539 satu tan dan September 2026 berkurangan RM269 kepada RM4,520 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 391,313 lot berbanding 518,950 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 259,223 kontrak daripada 252,147 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan susut RM180 kepada RM4,580 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2543592