AM

Perkeso Labuan Bantu Waris Selepas Lima Tahun Tanpa Mengetahui Hak

10/04/2026 11:54 AM

LABUAN, 10 April (Bernama) -- Selepas hampir lima tahun tidak mengetahui hak yang sepatutnya diterima, keluarga mendiang Cheow Teck Dee akhirnya memperoleh pembelaan apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Labuan tampil membantu menyalurkan faedah yang layak.

Mendiang Cheow yang meninggal dunia pada 10 Julai 2021 pada usia 40 tahun, meninggalkan seorang balu Stepeny Leonney Munih, 39, dan empat anak lelaki yang ketika itu berusia antara lapan bulan hingga sembilan tahun.

“Situasi menjadi lebih menyentuh hati apabila anak bongsunya tidak sempat mengenali kasih sayang seorang ayah kerana masih bayi ketika itu,” kata Stepeny kepada Bernama hari ini.

Sepanjang tempoh tersebut, Stepeny membesarkan anak-anaknya dalam keadaan serba kekurangan tanpa menyedari bahawa keluarganya layak menerima faedah Pencen Penakat Perkeso, yang boleh membantu meringankan beban kehidupan.

Beliau berkata perkara itu hanya diketahui baru-baru ini, selepas beliau menonton perkongsian diaplikasi TikTok oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, yang memberi pendedahan mengenai hak pencarum dan waris di bawah perlindungan Perkeso.

Susulan itu, pasukan Perkeso Labuan segera mengadakan lawatan ke kediaman waris hari ini (10 April) bagi memberikan penerangan lanjut serta membantu proses tuntutan faedah yang diketuai Pengurus Pejabat Perkeso Labuan Sylvester Candy Anak Pai.

Dalam lawatan itu, pihak Perkeso turut menyampaikan Kotak Prihatin sebagai tanda sokongan kepada keluarga berkenaan, selain memastikan mereka tidak tercicir daripada perlindungan sosial yang sewajarnya.

Sylvester berkata kisah tersebut membuktikan peranan penting media sosial dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, sekali gus membantu waris menuntut hak yang sebelum ini terlepas pandang.

“Perkeso akan terus komited memperluas usaha advokasi dan kesedaran bagi memastikan tiada pencarum atau waris tercicir daripada perlindungan sosial, walaupun selepas bertahun-tahun,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2543237