EKONOMI

Pasukan Petugas Kemuka Saranan Tangani Cabaran Perindustrian Labuan

08/04/2026 08:07 PM

LABUAN, 8 April (Bernama) -- Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh untuk menangani cabaran ekonomi yang menjejaskan penggiat industri di Labuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Lo Su Fui berkata Pasukan Petugas Industri Labuan yang ditubuhkan pada Februari 2026 telah menghimpunkan data dan maklum balas daripada penggiat industri untuk merangka cadangan penyelesaian itu.

Pasukan petugas itu yang dipengerusikan bersama oleh Lo serta Pengerusi Perbadanan Labuan Mohd Husni Mohamad Salleh pada mulanya diberikan tempoh tiga bulan untuk memberi penyelesaian terhadap cabaran utama industri termasuk bekalan air dan elektrik.

Bagaimanapun, Lo berkata pasukan itu bertindak pantas dengan mengemukakan cadangan dalam tempoh dua minggu selepas sesi libat urus dengan pihak berkepentingan industri.

“Kami tidak menunggu sehingga tiga bulan untuk menyatakan penyelesaian. Hanya dua minggu selepas sesi libat urus dengan pemain industri Labuan, kami telah mengemukakan cadangan penyelesaian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Yeoh akan membentangkan cadangan itu di peringkat Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

Antara cadangan utama adalah bagi memperkukuh status bebas cukai Labuan untuk menyokong kedudukan ekonominya, membangunkan hab logistik moden, menggalakkan inovasi kewangan, menambah baik kesalinghubungan termasuk perkhidmatan bot 24 jam antara Labuan dan Menumbok serta mengkaji semula aspek berkaitan percukaian.

Menurut Lo, pasukan petugas itu yang disarankan penubuhannya oleh Yeoh juga bertujuan menambah baik penyelarasan antara agensi kerajaan bagi memudahkan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi selain turut bekerjasama rapat dengan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong mengenai penyelarasan dasar.

Sementara itu, Mohd Husni berkata pasukan petugas itu yang terdiri daripada ketua pelbagai agensi kerajaan telah meneliti secara menyeluruh mengenai kebimbangan industri sebelum mengemukakan cadangan.

“Kami telah mengadakan mesyuarat sebelum mengemukakan cadangan penyelesaian yang disyorkan dan mengkaji isu itu dengan teliti sebelum menghantar cadangan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2542612