EKONOMI

Maybank Sedia Bantu Pelanggan Di Tengah-tengah Ketidaktentuan Geopolitik Semasa

07/04/2026 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Maybank kekal bersedia menyokong pelanggan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi semasa dengan bantuan kewangan yang tersedia serta boleh diakses melalui pelbagai saluran.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, bank berkenaan berkata ia memahami bahawa individu dan perniagaan mungkin mengalami tekanan kewangan dengan cara yang berbeza dari semasa ke semasa.

Pihaknya turut memberi tumpuan untuk bekerjasama rapat dengan pelanggan bagi memahami keadaan masing-masing serta memberikan sokongan yang bersesuaian.

“Bantuan mungkin merangkumi langkah-langkah seperti pelarasan syarat pembayaran balik serta lanjutan tempoh untuk membantu pelanggan menguruskan komitmen kewangan mereka dengan lebih baik sepanjang tempoh sukar ini.

“Pelanggan boleh membuat permohonan bantuan melalui pelbagai saluran termasuk pilihan ‘Financial Relief’ di Maybank2u dengan menghubungi pengurus perhubungan masing-masing.

"Selain itu pelanggan boleh mengunjungi cawangan Maybank dan pusat perkhidmatan yang relevan di seluruh negara atau dengan menghubungi Hotline Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di 1-300-88-6688,” kata bank tersebut.

Saluran-saluran ini membolehkan pelanggan berinteraksi dengan bank dengan cara yang mudah serta boleh diakses oleh mereka selain membolehkan sokongan diberikan dengan tepat pada masanya.

Sebagai sebahagian daripada industri perbankan, Maybank terus menyokong usaha untuk mengekalkan daya tahan kewangan dan kestabilan.

Selain itu pihak bank akan bekerjasama rapat dengan pelanggan serta pihak berkepentingan bagi memastikan sokongan kekal tersedia di tempat yang diperlukan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2542228