AM

PM Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Tun Dr Ling

06/04/2026 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Pengangkutan dan Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA Tun Dr Ling Liong Sik yang meninggal dunia pada Sabtu lepas.

Hadir sama di Pusat Xiao En itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.

Perdana Menteri berkata beliau hadir bagi mengucapkan takziah kepada isteri mendiang Toh Puan Ong Ee Nah bagi pihak keluarga dan negara, selain mengenang sumbangan besar Dr Ling kepada negara.

"Secara peribadi beliau itu sahabat baik abang saya. Kawasan Parlimen Bagan itu bersebelahan Permatang Pauh, jadi tentunya kami bergerak dalam politik bersama hingga beliau menjadi presiden MCA dan saya dengan UMNO ketika itu.

"Yang pentingnya dalam perjalanan perhubungan peribadi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, kita banyak bersama, bekerjasama dan saya menghargai sumbangan beliau bukan sahaja kepada parti MCA tetapi juga kepada negara khususnya di Kementerian Pengangkutan," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang dan bertemu mereka yang hadir di pusat berkenaan.

Dr Ling meninggal dunia pada usia 82 tahun, Sabtu lepas, meninggalkan isteri Toh Puan Ong Ee Nah serta dua cahaya mata lelaki Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Bekas Presiden MCA itu antara anggota Kabinet paling lama berkhidmat ketika menerajui Kementerian Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 sehingga peletakan jawatan beliau pada 2003.

  -- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2541743