SHAH ALAM, 6 April (Bernama) -- Mendiang Datuk Karam Singh Walia merupakan seorang bapa yang penyayang, namun tegas dalam memupuk kepentingan ilmu dalam kalangan anak-anak, khususnya dari segi penguasaan bahasa.
Anak kedua mendiang, Komander Melvinderjit Singh Walia, 42, berkata sekiranya adik-beradiknya menggunakan ayat atau perkataan yang kurang tepat di rumah, bapanya akan terus menegur dan meminta kesilapan itu dibetulkan segera.
Berkongsi pengalaman ketika memulakan latihan sebagai anggota pertahanan negara di Maktab Tentera Diraja (MTD), Melvinderjit berkata kesibukan tugas sebagai wartawan penyiaran tidak pernah menghalang bapanya untuk tetap menghubungi serta mengambil tahu perkembangannya di asrama.
“Yang paling saya ingat mendiang sangat gembira apabila mengetahui saya berjaya memasuki Akademi Tentera Laut Diraja Malaysia kerana itu memang hasrat beliau dari dulu, dan antara kenangan manis yang paling saya ingat, disebabkan dia saya banyak kena berpantun sewaktu latihan dahulu.
“Kalau nak cakap mengenai ketegasan mendiang dari segi pelajaran semasa di sekolah, markah mata pelajaran bahasa sama ada Inggeris atau Melayu harus 90 peratus ke atas dan tidak boleh kurang, itu antara cara beliau mendidik kami tiga beradik,” katanya ketika ditemui di kediaman mendiang di sini, hari ini.
Anak sulung mendiang, Sharonjit Kaur, 44, berkata bapanya yang menderita sakit kanser hati sejak 2024 mengalami komplikasi hati berdarah kira-kira tiga hari lepas dan dimasukkan ke Pusat Perubatan Bukit Tinggi, di sini untuk mendapatkan rawatan.
"Bapa dibenarkan keluar hospital pada Sabtu lepas dan apabila pulang ke rumah, dia mengadu badan berasa lenguh, tiada yang luar biasa," katanya.
Sementara itu, adik mendiang, Jasbant Singh berkata walaupun abangnya tidak pernah mendapat pendidikan khusus dalam bidang bahasa, mendiang berjaya mencipta acuan tersendiri menerusi kesantunan bahasa dengan mengaplikasikan pengunaan pantun dan peribahasa dalam setiap pelaporannya.
Jasbant yang juga Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Berita dan Hal Ehwal Semasa, Media Prima Berhad berkata perkara itu seharusnya menjadi penanda aras dan contoh bagi mereka yang berminat atau telah menceburi industri kewartawanan negara.
“Kami sekeluarga kehilangan seorang yang amat kami sayangi, selama ini Karam Singh menjadi tonggak untuk keluarganya dan juga bagi saya sebagai adiknya, dan saya banyak menerima tunjuk ajar daripada beliau dalam bidang kewartawanan.
“Sesungguhnya, beliau merupakan ikon kewartawanan Malaysia … pemergiannya memang dirasakan bukan sahaja oleh keluarga, tetapi oleh seluruh warga kewartawanan di Malaysia,” katanya.
Jasad Karam Singh akan dibawa ke Krematorium Hindu Simpang Lima di sini kira-kira pukul 4 petang ini selepas sesi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga tamat kira-kira 3 petang.
Dilahirkan pada 1959 di Teluk Intan, Perak dalam keluarga bekas anggota polis, Karam Singh, 67, memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran di TV3 pada 1995 sebelum bersara pada 2014 berikutan masalah kesihatan.
Beliau yang dikenali sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh di negara ini pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali serta Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi kategori Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007.
Mendiang merupakan antara penerima Tabung Kasih@HAWANA dalam kalangan media pada Jun 2024.
-- BERNAMA