Oleh Siti Raziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) yang bakal berlangsung akan menjadi platform utama untuk memacu kecerdasan buatan (AI) sebagai medan baharu inovasi, sekali gus menggerakkan fasa seterusnya peralihan tenaga Malaysia.
Dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, ETCon26 merupakan persidangan perdana yang diilhamkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang menghimpunkan pihak berkepentingan global bagi mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara.
Bertemakan “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition”, persidangan itu berteraskan tiga tonggak kandungan utama, iaitu Energy for AI, AI for Energy dan Energy Transition for People, yang mencerminkan kebergantungan semakin erat antara sistem tenaga dan teknologi digital.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata edisi 2026 akan memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) kepada hasil yang boleh dilaksanakan, dengan beralih daripada perumusan strategi kepada pelaksanaan.
“Kami akan menghimpunkan peserta, pemain industri dan pihak berkepentingan untuk bekerjasama serta merangka pelan pelaksanaan yang kukuh bagi memperincikan hala tuju peralihan tenaga negara,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Shamsul berkata sistem tenaga yang boleh dipercayai dan berdaya tahan amat penting bagi menyokong perkembangan pesat industri yang dipacu AI, khususnya pusat data yang semakin memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi.
“AI tidak dapat bergerak tanpa tenaga. Malah, tiada apa-apa dalam negara ini dapat beroperasi tanpa tenaga,” katanya.
Beliau berkata pertumbuhan pusat data di Malaysia menyerlahkan keperluan terhadap bekalan elektrik yang stabil dan kompetitif, dengan TNB memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan itu.
Pada masa sama, AI semakin menjadi elemen penting dalam mentransformasikan cara sistem tenaga diurus, termasuk meningkatkan kecekapan, kebolehramalan dan prestasi keseluruhan sistem.
Menurut beliau, AI kini telah digunakan dalam operasi TNB, termasuk bagi penyelenggaraan ramalan, pengimbangan beban dan ramalan cuaca.
“Sebagai contoh, menerusi penyelenggaraan ramalan dan ramalan cuaca, kami dapat mengenal pasti aset yang perlu diberi keutamaan. Ini antara kelebihan besar yang boleh dicapai apabila AI diintegrasikan dalam operasi,” katanya.
Beliau berkata AI juga penting dalam menangani cabaran ketidakstabilan bekalan yang berkait dengan tenaga boleh baharu, khususnya penjanaan solar.
Selain aspek teknologi, Shamsul berkata peralihan tenaga perlu memberi manfaat nyata kepada masyarakat, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan limpahan ekonomi yang lebih meluas.
Shamsul berkata pengembangan sektor tenaga boleh baharu telah mewujudkan peluang ekonomi baharu, sekali gus mendorong TNB menyokong program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang seperti solar dan penyimpanan bateri.
“Kami telah bekerjasama dengan vendor bagi menyokong TVET, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang sedia untuk diisi. Keseluruhan ekosistem mendapat manfaat daripada sektor ekonomi baharu ini,” katanya.
Shamsul berkata TNB turut mempergiat usaha elektrifikasi mobiliti, dengan lebih 300 pengecas kenderaan elektrik (EV) telah dipasang di seluruh negara di bawah rangkaian pengecasan TNB Electron.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan mempercepat penggunaan EV, di samping menyokong pemain automotif domestik serta mengurangkan pelepasan karbon.
Menurutnya, inisiatif berkenaan dijangka menghasilkan kesan limpahan yang meluas merentas industri dan komuniti, sekali gus menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.
Di peringkat serantau, beliau berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk muncul sebagai hab tenaga pintar dan mampan di ASEAN, disokong oleh inisiatif seperti Grid Kuasa ASEAN.
Beliau berkata kerjasama lebih kukuh serta keterhubungan grid antara negara amat penting bagi membolehkan aliran elektrik rentas sempadan, dengan AI memainkan peranan penting dalam integrasi tersebut.
ETCon26 setakat ini telah mengesahkan penyertaan rakan kongsi global, termasuk Hyosung, Schneider Electric dan Siemens, mencerminkan kepentingan ekosistem kerjasama yang menyeluruh.
“Penggubal dasar tidak boleh bertindak bersendirian, manakala industri memerlukan kejelasan dasar. ETCon26 menyediakan platform untuk semua pihak berkumpul, bertukar idea dan memacu pelaksanaan,” katanya.
Shamsul berkata persidangan itu dijangka menghasilkan hasil yang konkrit, termasuk projek dan inisiatif baharu yang mampu meningkatkan produktiviti, memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta menambah daya saing negara.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran ETCon26, layari laman sesawang rasmi persidangan di the-etconference.com.
-- BERNAMA