PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) -- Seorang anak bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin hari ini hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi memberi keterangan berhubung siasatan agensi berkenaan.
Asnida yang ditemani peguam dilihat tiba di pekarangan Ibu Pejabat SPRM pada 9.50 pagi susulan notis dikeluarkan untuk hadir ke pejabat SPRM baru-baru ini.
Bagaimanapun, tiga lagi anak Allahyarham iaitu Md Wira Dani , Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin difahamkan masih belum tiba di Ibu Pejabat SPRM setakat 12.30 tengah hari ini.
Pada 28 Feb, SPRM mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Tun Daim berikutan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan sebelum ini.
SPRM sebelum ini dilaporkan melaksanakan Op Godfather susulan pendedahan mengenai kewujudan syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan Tun Daim, ahli keluarga serta sekutu perniagaan.
Siasatan Op Godfather dilaksana di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
-- BERNAMA