AM

Tentera Darat Angkat Segmen CBRNE Dalam DSA Dan NATSEC 2026

06/04/2026 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia akan mengetengahkan segmen Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Letupan (CBRNE) sebagai antara tarikan baharu pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 20 hingga 23 April ini.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata segmen CBRNE yang diperkenalkan buat pertama kali itu akan mempamerkan tahap kesiapsiagaan Tentera Darat (TD) dalam menghadapi ancaman melibatkan bahan-bahan berkenaan.

“Dalam CBRNE Arena ini, kami akan tunjukkan kesiapsiagaan kami dari segi pengesanan di kawasan tercemar dan juga bagaimana kami melaksanakan proses nyahaktif atau dekontaminasi (di kawasan tercemar).

“Selain itu, turut diadakan sesi ceramah serta demonstrasi oleh agensi-agensi berkaitan yang terlibat dalam pengendalian CBRNE,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Apa Khabar Malaysia di Wisma Bernama di sini pagi ini.

Beliau berkata DSA dan NATSEC kali ini akan menghimpunkan kira-kira 1,400 syarikat antarabangsa daripada lebih 60 negara serta dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pelawat daripada lebih 100 negara.

“Antara acara utama yang dijadualkan ialah majlis perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 April, selain penganjuran Forum Putrajaya yang bertemakan ASEAN Security in the Age of Emerging Technologies dengan ucaptama oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Beliau berkata penganjuran kali ini turut menampilkan pelbagai segmen baharu termasuk senjata api dan peralatan taktikal serta DSA & ASEAN Lab, selain pavilion gabungan industri pertahanan tempatan yang melibatkan 57 syarikat.

“Melalui platform ini, kami bukan sahaja mempamerkan aset tetapi turut membuka ruang perbincangan dan interaksi dengan delegasi luar bagi membincangkan situasi semasa serta hala tuju pertahanan,” katanya.

Azhan berkata DSA dan NATSEC yang menggabungkan dimensi pertahanan konvensional dan keselamatan dalaman membolehkan pendekatan keselamatan yang lebih menyeluruh atau keselamatan komprehensif dilaksanakan.

Beliau berkata platform berkenaan turut menjadi medan penting untuk memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala, khususnya dalam kalangan negara ASEAN melalui mesyuarat, forum dan sesi dialog strategik.

Mengulas situasi konflik di Asia Barat, Azhan berkata setakat ini ia tidak memberi kesan kepada penganjuran DSA dan NATSEC 2026, dengan tiada sebarang penarikan diri daripada negara peserta.

Beliau bagaimanapun menegaskan Malaysia akan terus bertindak sebagai platform neutral dan penganjur yang dipercayai dalam menghimpunkan pembuat dasar, pemain industri serta pihak penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkukuh ekosistem industri pertahanan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata dasar industri pertahanan negara yang menetapkan 30 peratus kandungan tempatan dalam setiap perolehan dilihat memberi impak positif kepada pembangunan industri tempatan.

“Ini adalah sesuatu yang amat memberi manfaat kepada industri pertahanan kita kerana setiap perolehan selepas ini perlu memenuhi keperluan kandungan tempatan itu,” katanya.

Azhan berkata secara keseluruhan DSA dan NATSEC bukan sekadar pameran pertahanan, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan, Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TD dalam memperkukuh ekosistem pertahanan negara.

“Pelaburan dalam industri pertahanan adalah pelaburan penting untuk memelihara kedaulatan negara di samping menjana ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2541466