JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan Dua Individu Termasuk Pengarah Urusan Syarikat Disyaki Terlibat Rasuah RM1 Juta

03/04/2026 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk pengarah urusan sebuah syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta.

Sumber SPRM memaklumkan suapan itu dipercayai diterima daripada pengarah sebuah syarikat pembekal pasir sebagai balasan tidak melaporkan perbuatan rasuah syarikat tersebut kepada SPRM.

Beliau berkata dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan berasingan pada 2 petang dan 8 malam semalam di sebuah restoran di Pulau Pinang dan di pejabat SPRM negeri tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek utama yang tidak bekerja dan pengarah urusan syarikat pembekal pasir melakukan perbuatan itu pada Mac lepas.

“Suspek utama ditahan dalam operasi khas dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sebuah restoran ketika menerima tiga keping cek bernilai kira-kira RM1 juta,” katanya.

Sumber berkata suspek utama turut disyaki mengugut untuk membuat laporan kepada SPRM jika bayaran tidak dibuat.

Selain cek tersebut, SPRM turut menyita beberapa barangan termasuk empat telefon bimbit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

Beliau berkata setakat ini seorang saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540665