KUANTAN, 3 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan lawatan kerja sehari ke Pahang dengan menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Cenderawasih di sini.
Ketibaan beliau pada 1.15 tengah hari dengan diiringi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail disambut Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah serta Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Selesai solat Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual mengadakan lawatan ke MADANI Mart di Indera Mahkota sebelum ke Himpunan Anak Pahang MADANI di pekarangan UTC Kuantan.
Program berkenaan dijangka menghimpunkan lebih 7,000 anak muda dari seluruh negeri.
Perdana Menteri akan mengakhiri lawatan kerja beliau pada sebelah malam dengan merasmikan Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA).
-- BERNAMA