KUANTAN, 2 April (Bernama) -- BAS.MY Kuantan kembali melalui jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging bermula hari ini bagi menyelesaikan isu pelajar yang terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira 800 meter ketika pulang sekolah.
Ketua Operasi Sanwa Tours (M) Sdn Bhd Mustaza Mohamad berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah bersetuju untuk menstrukturkan semula laluan C64 BAS.MY supaya memasuki kawasan dua sekolah berkenaan.
“Kekerapan laluan di hadapan sekolah berkenaan terhad kepada satu hingga dua perjalanan sahaja, iaitu pada waktu pagi bagi menghantar pelajar ke sekolah dan tengah hari untuk mengambil pelajar pulang.
“Perjalanan pulang pelajar adalah sekitar 2 petang dari Isnin hingga Khamis dan 12 tengah hari pada Jumaat,” katanya ketika ditemui Bernama di SMK Sungai Baging di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan laluan baharu itu dapat dilakukan seperti dirancang kerana jarak tambahan perjalanan hanya kurang daripada 400 meter.
Mustaza berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk mengkaji semula laluan BAS.MY sekiranya terdapat sebarang isu atau permintaan baharu pada masa hadapan sebelum dikemukakan kepada APAD untuk pertimbangan lanjut.
“Sebarang perubahan laluan tertakluk kepada kontrak yang telah ditetapkan. Sebagai pengendali, kami tidak boleh sewenang-wenangnya membuat perubahan laluan tanpa kelulusan pihak berkuasa kerana operasi ini bergantung sepenuhnya kepada syarat kontrak,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pusat Komuniti MADANI Indera Mahkota Ahmad Saifullah Razali yang mewakili Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi, berkata isu berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira 36 jam hasil kerjasama pelbagai pihak.
Beliau berkata pihak sekolah sebelum ini telah memaklumkan perkara itu kepada Pusat Komuniti MADANI Indera Mahkota selepas pelajar terpaksa berjalan kaki pulang dari sekolah disebabkan bas tidak melalui jalan di hadapan sekolah mereka.
Beliau berkata Ahmad Farhan kemudian mengambil inisiatif memanggil wakil syarikat pengendali bas dan APAD serta memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Pengangkutan untuk diselesaikan dengan kadar segera.
Ahmad Saifullah turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan pengendali bas serta Kementerian Pengangkutan atas kerjasama dan tindakan pantas dalam meluluskan perubahan laluan tersebut.
Semalam, media melaporkan Kementerian Pengangkutan bersetuju mengubah laluan C64 BAS.MY Kuantan supaya kembali melalui hadapan SK dan SMK Sungai Baging bagi memudahkan pergerakan pelajar di kawasan itu.
-- BERNAMA