JENAYAH & MAHKAMAH

Hina Agama, Institusi Diraja: Reman Tiga Individu Termasuk Remaja Akan Disambung

02/04/2026 04:29 PM

JOHOR BAHRU, 2 April (Bernama) -- Polis Johor akan membuat permohonan sambung reman terhadap tiga individu termasuk remaja berumur 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan melalui aplikasi TikTok yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, institusi diraja Johor, Ketua Polis Johor dan Perdana Menteri seperti yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata permohonan reman itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut terhadap tiga individu itu yang berumur antara 17 hingga 49 tahun yang ditahan reman selama empat hari bermula dari 31 Mac hingga esok.

"Reman terhadap ketiga-tiga individu akan tamat esok. Polis Johor akan membuat permohonan sambung reman esok.

"Permohonan itu bagi melengkapkan siasatan pihak polis di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati individu terbabit merupakan ahli keluarga yang terdiri daripada seorang wanita yang mengaku sebagai Ratu Nur Puteri Balqis, anaknya berusia 17 tahun serta abang wanita itu.

"Mereka tidak bekerja dan remaja terbabit tidak bersekolah. Setakat ini, polis akan mohon reman dalam tiga atau empat hari lagi, namun bergantung pada pihak mahkamah.

"Berhubung kesihatan mental individu berkenaan, saya tidak dapat mengesahkan statusnya, tetapi selepas siasatan dijalankan, ia bergantung pada arahan pihak mahkamah sama ada mereka perlu dirujuk kepada jabatan psikiatrik hospital atau tidak.

"Setakat ini, polis mengesahkan tiada pengikut kepada ajaran individu terbabit," katanya.

Pada Selasa lepas, media melaporkan tiga individu termasuk remaja berumur 17 tahun ditahan di Taman Saujana, di sini bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan melalui aplikasi TikTok yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, institusi diraja Johor, Ketua Polis Johor dan Perdana Menteri.

Ab Rahaman berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mengesan satu video dimuat naik pemilik akaun "ratunurputeribalqis" yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah terbabit, Ahad lepas.

Antara kandungan dalam hantaran itu ialah dakwaan Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor serta Perdana Menteri mendapat nasihat daripada pemilik akaun berkenaan dalam penyediaan teks ucapan.

Selain itu, kandungan terbabit turut memaparkan fitnah kononnya Sultan Johor menyimpan dokumen pengenalan diri pemilik akaun berkenaan bagi tujuan tertentu berkaitan ajaran yang dibawanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540205