AM

Guardian Ajak Rakyat Malaysia Miliki Mulut Sihat, Kehidupan Hebat

02/04/2026 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Bersempena sambutan tahunan Hari Kesihatan Mulut Sedunia pada 20 Mac di seluruh dunia, guardian Malaysia menganjurkan acara atrium Hari Kesihatan Mulut Sedunia di ruang legar 1Utama dari 31 Mac hingga 5 April serta di Midvalley Southkey, Johor Bahru. 

Dalam kenyataan, guardian Malaysia berkata sebagai peruncit kesihatan dan kecantikan nombor satu di negara ini, mereka komited memainkan peranan memerangi karies gigi dengan mempromosikan kesejahteraan holistik dan mengangkat penjagaan mulut daripada sekadar rutin kebersihan kepada aspek penting dalam penjagaan kesihatan menyeluruh.

“Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa (NOHSA 2020) karies gigi dikesan dalam 85.1 peratus daripada golongan dewasa yang ditinjau. Kadar prevalens ini menunjukkan kewujudan gigi rosak, hilang atau ditampal dalam kalangan lebih lapan daripada 10 orang dewasa. 

“Walaupun kadar ini menunjukkan trend penurunan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan yang boleh dilakukan pihak berkepentingan industri bagi membantu rakyat Malaysia mencapai sasaran bebas karies seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik Kesihatan Mulut Kebangsaan menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.

Acara itu disokong Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) dan Persekutuan Pergigian Dunia FDI selaras dengan aspirasi KKM.

Selain MDA, wakil daripada Program Kesihatan Mulut (OHP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta dekan fakulti pergigian daripada Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut hadir untuk menyumbang kepakaran serta sokongan bagi menjayakan acara itu.

Menurut kenyataan itu, Hari Kesihatan Mulut Sedunia dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap aspek penting namun sering diabaikan dalam penjagaan kesejahteraan diri selain memperkasakan individu dengan tip serta pengetahuan bagi mencapai kesihatan mulut yang lebih baik, daripada gigi yang kuat hingga nafas yang segar dan banyak lagi.

Pengarah Pemasaran guardian Malaysia, Singapura dan Brunei Anna Ng berkata ramai yang tidak menyedari kaitan rapat antara penjagaan mulut dengan penyakit sistemik seperti diabetes serta penyakit jantung, dengan individu yang memandang ringan dan mengabaikan penjagaan mulut mungkin berisiko menanggung akibat lebih serius pada masa hadapan.

“Selaras dengan tema acara “Mulut Sihat, Hidup Hebat” langkah pencegahan dan tip yang dipelajari harus dijadikan sebahagian daripada rutin dan tabiat harian baharu dalam kehidupan pelanggan merangkumi segenap peringkat usia daripada kanak-kanak dan remaja hingga golongan belia, ibu bapa serta warga emas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan guardian Malaysia Priscilla Wu berkata peranan guardian Malaysia sebagai penasihat kesejahteraan yang dipercayai rakyat Malaysia kini diperluas dengan usaha memperkasakan mereka untuk mengamalkan penjagaan pencegahan kesihatan mulut sebagai benteng utama terhadap masalah pergigian.

“Acara selama seminggu ini bersempena Hari Kesihatan Mulut Sedunia disokong oleh MDA dan Haleon, serta selaras dengan objektif KKM merupakan langkah pertama kami ke arah tersebut. 

“Kami berbangga menjadi rakan strategik MDA dalam memenuhi keperluan penjagaan mulut orang ramai, dan amat menghargai sokongan mereka dan Haleon dalam menyediakan pemeriksaan dan konsultasi pergigian percuma kepada orang ramai di atrium ini,” katanya.

Syarikat itu memaklumkan pelbagai zon interaktif sepanjang minggu seperti “Bina Senyuman Memikat”, “Lindungi Mulut Anda” dan “Serlahkan Keyakinan” direka agar menarik, interaktif dan berimpak tinggi bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mempelajari amalan kebersihan mulut yang betul serta menghalang penyakit melalui penjagaan harian dan pembentukan tabiat pencegahan.

Pemeriksaan dan konsultasi pergigian disediakan di ruang khas tertutup di atrium dari 12 tengah hari hingga 6 petang 31 Mac serta dari 3 hingga 5 April.

“Aktiviti pentas turut diadakan pada waktu petang hujung minggu, menampilkan pelbagai topik menarik oleh BioMed, Colgate, Darlie, Henry Blooms dan Sensodyne,” menurut kenyataan itu.

Ahli MYguardian Rewards boleh menikmati promosi eksklusif di atrium seperti baucar hadiah guardian RM30 percuma bagi pembelian minimum RM130, bagasi mini bergaya percuma dengan pembelian minimum RM200 dan kupon praacara: diskaun RM5 bagi pembelian RM50. 

Ahli juga boleh menikmati promosi beli dua, percuma satu (campur dan padan) dengan penjimatan sehingga 30 peratus pada 31 Mac sahaja dan diskaun 70 peratus untuk item kedua dengan penjimatan sehingga 30 peratus dari 1 hingga 5 April. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540182