TANGKAK, 1 April (Bernama) -- Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ketika mandi bersama dua rakannya di Air Terjun Gunung Ledang, di sini, petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak,Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Fazlan Maraman berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 5.27 petang.
Beliau berkata mangsa Muhammad Zaffran Abu Samah, 15, disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa ditemukan orang awam sebelum ketibaan anggota bomba tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fazlan berkata pihaknya menjalankan pemantauan di lokasi kejadian sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.28 petang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
-- BERNAMA