IPOH, 1 April (Bernama) -- Padah mengenakan syarat mewajibkan pembelian barangan lain untuk membeli minyak masak paket bersubsidi, sebuah premis kedai runcit di Tapah diserbu sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata dalam operasi 10.30 pagi itu sebanyak 714 kilogram (kg) minyak masak paket, dokumen perniagaan, lesen berkaitan serta invois pembelian disita dengan keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,785.00.
“Operasi itu dilaksanakan hasil aduan orang awam yang mendakwa premis berkenaan mengenakan syarat pembelian ke atas minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi.
“Bertindak atas maklumat itu, kaedah penyamaran dan uji beli telah dijalankan dan mendapati aduan adalah berasas,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA