EKONOMI

Ekonomi Malaysia Dijangka Terus Berkembang Pada 2026 Meskipun Berdepan Cabaran Geopolitik - Akmal Nasrullah

31/03/2026 06:31 PM

PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata Bank Negara hari ini telah mengeluarkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun ini, iaitu sekitar empat hingga lima peratus.

“Dengan unjuran tersebut, tumpuan adalah untuk memastikan kegiatan ekonomi terus berlangsung serta pertumbuhan dapat dikekalkan dengan baik,” katanya kepada media selepas melancarkan Seminar Pemetaan Peluang Strategik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di sini hari ini.

Terdahulu, bank pusat mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara empat hingga lima peratus tahun ini, meningkat berbanding unjuran empat hingga 4.8 peratus pada 2025.

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada 2025, dengan pertumbuhan suku keempat mencecah 6.3 peratus.

Prestasi ini didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, eksport elektrik dan elektronik yang kukuh, serta sektor pelancongan yang terus menyokong aktiviti ekonomi.

Akmal Nasrullah berkata walaupun terdapat cabaran luaran, khususnya ketegangan geopolitik, kerangka ekonomi negara secara keseluruhan masih memberi keyakinan kepada pelabur bahawa Malaysia akan terus mencatat pertumbuhan positif pada tahun ini.

“Isu di peringkat geopolitik ini akan terus menjadi cabaran yang perlu kita uruskan, namun secara keseluruhan ia masih memberi gambaran positif kepada pelabur bahawa ekonomi kita akan terus berkembang pada 2026,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, menteri itu berkata Malaysia telah merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara pada 2025 sebanyak RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pelaburan ini melibatkan 8,390 projek dan dijangka mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan baharu, dengan pelaburan domestik menyumbang RM219.6 bilion atau 51.5 peratus, manakala pelaburan asing berjumlah RM207.1 bilion atau 48.5 peratus.

“Ini memberi mesej jelas bahawa keyakinan terhadap ekonomi Malaysia bukan sahaja datang dari luar, tetapi turut dipacu oleh pelabur tempatan,” katanya.

Menurut beliau, petunjuk semasa ekonomi pada awal 2026 kekal stabil dengan inflasi pada Januari berada pada 1.6 peratus, kadar pengangguran rendah pada 2.9 peratus serta Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 2.75 peratus setakat 5 Mac, 2026.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa prestasi semasa tidak boleh membuat negara leka.

“Kestabilan hari ini tidak menjamin kekuatan esok,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata ketegangan konflik geopolitik di Asia Barat telah memberi tekanan kepada pasaran minyak dunia, dengan harga minyak mentah Brent melonjak melebihi US$100 setong dan mencecah sekitar US$122.98 setong pada hari ini susulan risiko gangguan bekalan serta laluan strategik seperti Selat Hormuz.

-- BERNAMA

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539466