AM

Keamanan Wajar Dipelihara Sebagai Asas Utama Kesejahteraan Ummah - Raja Muda Perlis

31/03/2026 04:23 PM

KANGAR, 31 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah keamanan wajar dihargai dan dipelihara sebagai asas utama kesejahteraan ummah serta kestabilan negara.

Bersempena sambutan Hari Polis ke-219 tahun ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru seluruh masyarakat, khususnya di Perlis untuk menginsafi keamanan yang merupakan nikmat terbesar dalam kehidupan.

“Bagi memastikan keupayaan pasukan keselamatan kekal teguh dan berterusan, setiap anggota polis perlu dilengkapi latihan, kemahiran serta peralatan mencukupi supaya sentiasa bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman keselamatan yang semakin kompleks,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Arau hari ini.

Sempena sambutan Hari Polis ke-219, Raja Muda Perlis juga berkenan mengetuai Program Kayuhan Berbasikal anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perlis di sekitar Utan Aji dekat Kangar semalam.

Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan tahniah kepada PDRM atas kejayaan merampas 510 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM25.5 juta di Wang Kelian, Kaki Bukit dekat Padang Besar pada minggu lepas.

Baginda berharap masyarakat awam di Perlis terus bersikap bertanggungjawab dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing. 

Sempena program itu, Raja Muda Perlis turut berkenan menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan PDRM kepada beberapa penerima termasuk Mahani Mat, 53, dan Haron Nayan, 81, dari Kampung Sentua Utan Aji serta Ismail Matt Isa, 64, dari Kampung Alor Marus.

Baginda juga berkenan menyantuni bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Arau DSP (B) Ishak Baharun, 73, di kediamannya di Utan Aji.

-- BERNAMA

KEYWORDS
        
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539405