SUKAN

Karate Labuan Cemerlang Di Jepun, Kutip Dua Emas

31/03/2026 04:17 PM

LABUAN, 31 Mac (Bernama) -- Pasukan karate Labuan mempamerkan aksi cemerlang pada Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa ke-24 Universal Shotokan Karate Union (USKU) di Takanabe, Miyazaki, Jepun apabila meraih dua pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Pada kejohanan yang berlangsung dari 27 hingga 29 Mac itu, barisan atlet Labuan beraksi penuh semangat juang dengan Syarulniza Abdul Jamil, Nur Aleesya Dayana Asmadie dan Nur Ariesya Dayana Asmadie menghadiahkan pingat emas pertama menerusi acara kata berpasukan wanita senior.

Martina Anne Jipaun, Hazimah Jamil dan Syarulniza kemudian menambah koleksi emas kedua selepas mempamerkan aksi mantap dalam acara kumite berpasukan wanita senior.

Syarulniza dan Nur Aleesya turut menyerlah dalam acara individu masing-masing. Syarulniza meraih pingat perak dalam kumite serta gangsa dalam kata, manakala Nur Aleesya mencatatkan perak dalam kata dan gangsa dalam kumite bagi kategori junior bawah 15 tahun.

Satu lagi pingat gangsa disumbangkan oleh Mohamad Aqib Aimar Mohamad Affendi menerusi acara kata lelaki bawah 10 tahun.

Presiden Persatuan Karate Labuan Renshi Aswadee Taba memuji pencapaian cemerlang atlet berkenaan.

Beliau berkata kejayaan itu mencerminkan dedikasi, disiplin serta semangat juang tinggi yang ditampilkan para atlet.

“Bersaing di Jepun dan membawa pulang pingat adalah satu kebanggaan buat Labuan. Ia membuktikan atlet kita mampu berdiri sebaris dengan pesaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539401