GAYA HIDUP

Pemuzik Terkenal Tamil, Deva Dan Naresh Iyer Memukau Peminat Di Pulau Pinang

31/03/2026 03:54 PM

Oleh Ratcharathan A/L Rawe Shanggar

GEORGE TOWN, 31 Mac (Bernama) -- Hujung minggu yang baru berlalu menjadi kenangan manis buat peminat muzik Tamil di Pulau Pinang apabila mereka dihiburkan menerusi persembahan ‘Thenisai Baasha Deva Live in Penang’ dan konsert hebat oleh Naresh Iyer yang mengubah Setia Spice Arena menjadi pusat hiburan penuh ritma, nostalgia dan tenaga.

Berlangsung pada 28 dan 29 Mac, acara dua malam itu menampilkan konsep unik apabila satu tiket memberi akses kepada dua konsert, menarik kira-kira 7,000 penonton.

Pada malam pertama, legenda muzik India Selatan Deva menghiburkan peminat selama lima jam tanpa henti, mempersembahkan hampir 40 lagu yang membawa penonton mengimbau lagu-lagu ikoniknya yang mencorakkan industri filem Tamil sejak 1990-an.

Maestro berusia 75 tahun itu membuka persembahan dengan lagu keagamaan ‘Ammama’, sebelum menyampaikan lagu popular seperti ‘Meesakara Nanba’, ‘Kavalaipadathey’, ‘Anna Nagar Andalu’ dan ‘Salomiya’ yang diulang atas permintaan peminat.

Persembahan turut dimeriahkan oleh anaknya Srikanth Deva yang menghangatkan suasana dengan lagu seperti ‘Kannama Kannama’, ‘Umma Ummama’ dan ‘Kulukki Vacha’, sekali gus menjadikan arena seperti dewan tarian.

Penyanyi latar terkenal Mano  yang merakamkan lebih 35,000 buah lagu dan Anuradha Sriram turut memukau dengan lagu hit seperti ‘Nalam Nalam Ariya’, ‘Meenama’, ‘Konja Naal’ dan ‘Style-lu Style-lu’. Persembahan mereka dilengkapi oleh bakat meningkat naik daripada Super Singer antaranya K. Aravind dan Shruthi Shekar.

Sepanjang konsert, antara detik paling mengujakan ialah apabila muzik latar ikonik yang sinonim dengan bintang besar  Rajinikanth dimainkan secara langsung, terutamanya ketika segmen diinspirasikan daripada filem kultus “Baasha” mencetuskan sorakan gemuruh.

pic-2

Konsert malam pertama diakhiri dengan penuh bertenaga menerusi  lagu ‘Kaathadikuthu Kaathadikuthu’ dan ‘Kanagathu Meenu’.

Terharu dengan sambutan hangat, Deva yang nama sebenarnya Devanesan Chokkalingam, meluahkan kecintaannya terhadap Pulau Pinang serta menyatakan rancangan untuk menghasilkan lagu keagamaan buat Kuil Sri MuniswararJalan Baru di Perai di sini.

Pada malam kedua, suasana rancak diteruskan menerusi persembahan Naresh Iyer yang tampil dengan gabungan melodi dan muzik moden. Diiringi kumpulan ‘Thinak Dhin Band’, beliau mempamerkan vokal mantap menerusi lagu seperti ‘Mundhinam Paartheney’, ‘Munbe Vaa’, ‘Yethi Yethi’, ‘Naan Sonnadhum’ dan ‘Mersal Arasan’.

Sorotan istimewa ialah duet bersama-sama dengan bintang Super Singer, Aparna Harikumar menerusi lagu ‘Un Perai Sollum’ dan ‘Valayapathi Thavile’. Mereka juga menerima tepukan gemuruh apabila memberikan penghormatan kepada penyanyi rakaman tersohor mendiang S. P. Balasubrahmanyam.

Siri konsert ini turut mengetengahkan bakat tempatan dan serantau seperti kumpulan Malaysia, Lock Up, yang menghiburkan penonton dengan lagu nostalgia seperti ‘Kokorokko Giri’, ‘Lalalla’ dan ‘Ring Ting Ting’.

Susulan kejayaan konsert itu, pengasas Key Global Network Sdn Bhd dan juga penganjur Dr Kugilan Pushpanathan mengumumkan rancangan untuk mengadakan konsert mega Naresh Iyer di Kuala Lumpur pada Jun depan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539387