DUNIA

Hizbullah Dakwa Lancar 40 Serangan Ke Atas Sasaran Israel Dalam Tempoh 24 Jam

31/03/2026 02:11 PM

ISTANBUL, 31 Mac (Bernama-Anadolu) -- Kumpulan Hizbullah mendakwa ia melancarkan 40 serangan ke atas tapak ketenteraan, pangkalan, penempatan dan tentera Israel dalam tempoh 24 jam lepas, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam siri kenyataan yang dipantau Anadolu, kumpulan itu menyatakan operasi berkenaan dilaksanakan “bagi mempertahankan Lubnan dan rakyatnya.”

Serangan itu termasuk bedilan roket dan serangan dron yang menyasarkan penempatan Metula, Dovev, Kiryat Shmona, Yir’on dan Nahariya di utara Israel.

Hizbullah turut menyatakan bahawa pihaknya menyasarkan tapak Ghajar, berek Shomera dan tapak Mishmar HaCarmel di selatan Haifa, selain pangkalan tentera laut Haifa.

Menurut kumpulan itu, ia turut melancarkan apa yang disifatkannya sebagai “roket canggih” ke arah pangkalan Glilot berhampiran Tel Aviv yang menempatkan ibu pejabat risikan tentera Israel Unit 8200.

Serangan lain turut menyasarkan pangkalan Filon di selatan Rosh Pinna, infrastruktur ketenteraan di kawasan Krayot di utara Haifa serta perhimpunan tentera Israel berhampiran Naqoura dan di sepanjang sempadan Lubnan.

Di selatan Lubnan, Hizbullah menyatakan ia menyasarkan kumpulan tentera dan kenderaan Israel di beberapa pekan sempadan termasuk Adaisseh, Deir Siryan, Ainata dan Bayyada, sambil mendakwa serangan tepat mengenai sasaran.

Kumpulan itu juga mendakwa telah memusnahkan beberapa kereta kebal Merkava Israel dan menyerang tentera Israel di Beit Lif dan Ainata.

Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Lubnan dan memulakan serangan darat di selatan negara itu sejak serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada 2 Mac lepas.

Pihak berkuasa Lubnan menyatakan sekurang-kurangnya 1,247 orang terkorban manakala 3,690 lagi cedera dalam serangan Israel sejak itu.

Peningkatan ketegangan itu berlaku di tengah-tengah serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran yang telah mengorbankan lebih 1,340 orang sejak 28 Feb lepas.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara Teluk.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539327