JENAYAH & MAHKAMAH

Gerai Mercun Terbakar: Dua Peniaga Didenda RM2,000 Kerana Cuai

31/03/2026 01:40 PM

JOHOR BAHRU, 31 Mac (Bernama) -- Dua peniaga mercun masing-masing didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuai dalam pengendalian bahan letupan, minggu lepas.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Husaini Ehsa, 36, dan Othman Abu Kasim, 31, dan turut memerintahkan mereka dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama gagal mematuhi jarak selamat antara bahan letupan dalam milikan mereka dengan bahan api dalam kenderaan yang diparkir berdekatan.

Perbuatan itu boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa manusia berikutan risiko letupan daripada mercun yang disimpan di gerai bunga api berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Bunga Kemboja Majidee, Kampung Sulaiman Menteri di sini pada 8.20 malam 23 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif memohon hukuman setimpal memandangkan perbuatan berkenaan adalah merbahaya dan boleh menyebabkan kebakaran di tempat awam.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) K. Vijayan merayu hukuman denda lebih rendah dengan alasan Othman yang bekerja sebagai juruteknik perlu menanggung ibunya, manakala Muhammad Husaini yang bekerja dalam perkhidmatan kawalan serangga menyara isteri serta tiga anak.

Sebelum ini, media melaporkan kebakaran sebuah gerai menjual mercun yang turut mengakibatkan sebuah kenderaan Proton Gen 2 dan sebuah lori makanan yang diparkir di kawasan berdekatan terbakar.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539303