KULIM, 31 Mac (Bernama) -- Tujuh lelaki termasuk enam warga asing ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik tanpa kelulusan pihak berkuasa di sini, kelmarin.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata operasi kira-kira 3 petang itu dilakukan Cawangan Risik Batalion 18, Briged Utara PGA dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Daerah Kulim.
Beliau berkata operasi hasil maklumat risikan itu berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis, bersama empat warga Bangladesh dan dua warga Nepal dipercayai pekerja di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut telah memasang serta mengendalikan beberapa fasiliti pemprosesan plastik tanpa sebarang notifikasi dan kelulusan daripada pihak JAS.
“Pasukan serbuan turut menemukan sejumlah besar longgokan plastik, sama ada belum diproses mahupun telah siap diproses, selain beberapa mesin yang digunakan dalam aktiviti pemprosesan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balveer berkata siasatan awal mendapati premis berkenaan telah beroperasi lebih daripada sembilan tahun, dengan bekalan bahan sisa plastik diperoleh dari kawasan Lembah Klang.
Beliau berkata fasiliti yang terdapat di dalam premis digunakan untuk memproses bahan plastik, manakala bijian plastik yang telah siap diproses kemudiannya dieksport ke luar negara.
“Lelaki tempatan berusia 35 tahun yang ditahan, disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin,” katanya.
Sementara itu, enam lelaki warga Bangladesh dan Nepal berusia antara 22 hingga 46 tahun disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Dalam operasi itu, pelbagai mesin digunakan untuk memproses plastik serta tiga buah jentera forklift dirampas dengan anggaran nilai rampasan melebihi RM20 juta.
“Kes telah diserahkan kepada JAS Daerah Kulim untuk siasatan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana kegagalan mengemukakan laporan mengenai kesan aktiviti pemprosesan plastik terhadap alam sekitar,” katanya.
-- BERNAMA