KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- EP Manufacturing Bhd (EPMB) melalui anak syarikat milik penuhnya EP Moulds and Dies (M) Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Xepa-Soul Pattinson (Malaysia) Sdn Bhd untuk membeli enam bidang tanah perindustrian pegangan bebas berharga RM35.12 juta.
Menurut EPMB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, cadangan pembelian itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kumpulan untuk memperluas operasi pemasangan kenderaan dan pembuatan komponen.
“Pembelian itu adalah selaras dengan transformasi pembuatan yang sedang dilaksanakan kumpulan untuk memenuhi keperluan penting bagi meningkatkan kapasiti.
“Dengan mewujudkan tempat simpanan berpusat untuk kenderaan siap dan tambahan gudang bagi komponen yang dihasilkan dalam negara, kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada rakan pengeluar peralatan asal serta mengoptimumkan kecekapan logistik,” katanya.
Mengenai sumber pembiayaan, pengeluar dan pengedar alat ganti automotif itu berkata jumlah harga pembelian akan dibayar secara tunai, yang dibiayai melalui kombinasi dana dalaman dan pinjaman bank.
-- BERNAMA