KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Pasukan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara dunia dalam pertandingan Fellows-in-Training (FITs) Jeopardy sempena American College of Cardiology Conference (ACC) 2026 di New Orleans.
Kejayaan itu dicapai menerusi gandingan tiga pakar muda negara iaitu Dr Chen Tai Meng, Dr Ang Jian-Gang dan Dr Yee Shen Yew yang berjaya menewaskan peserta dari pelbagai negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pencapaian berprestij itu membuktikan keupayaan pakar perubatan Malaysia setanding dengan yang terbaik di peringkat antarabangsa.
“Syabas juga buat Dr Nor Hanim Mohd Amin (HOD atau Ketua Jabatan Kardiologi) serta seluruh pasukan Kardiologi HRPB atas kepimpinan dan sokongan padu.
“Kejayaan ini adalah satu "Hat-trick" kecemerlangan yang luar biasa selepas muncul juara kebangsaan anjuran National Heart Association of Malaysia pada 2024 dan juara serantau ACC Asia di Singapura pada 2025,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
FITs Jeopardy yang berlangsung dari 28 hingga 30 Mac merupakan platform pembelajaran interaktif berprestij yang menggabungkan elemen kuiz, persaingan dan pendidikan, khusus untuk doktor pelatih kardiologi bagi mengasah ilmu serta membina rangkaian profesional global.
-- BERNAMA