KANGAR, 30 Mac (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya menggagalkan tiga cubaan menyeludup kanabis seberat 61.842 kilogram (kg) dianggar bernilai RM188,007.20 yang dipercayai diseludup dari Thailand, awal bulan ini.
Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata menerusi serbuan di pintu sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar pada 8.45 malam, 3 Mac lepas, pihaknya menemukan 10.812 kg kanabis dianggar bernilai RM33,517.20 dalam satu bungkusan plastik hitam.
"Kawasan itu ada (tempat) pembuangan sampah tidak beretika dan pihak tertentu menggunakan kesempatan meletakkan dadah dalam plastik tersebut seolah-olah nampak seperti sampah. Dalam plastik hitam itu ada sebuah kotak yang mengandungi sembilan ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis.
"Modus operandi dipercayai meninggalkan bungkusan berisi dadah di pintu sempadan untuk dipungut oleh individu lain," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata rampasan seterusnya pada 1.30 pagi, 5 Mac lepas membabitkan 20.2 kg kanabis dianggar bernilai RM62,000 selepas mengejar sebuah sampan berenjin yang mencurigakan ketika melakukan rondaan di perairan Kuala Perlis.
"Dilihat kelibat dua lelaki dalam sampan tersebut yang kemudiannya bertindak memecut laju menuju ke perairan Thailand dan membuang dadah itu yang berada dalam satu guni dan satu kotak ke dalam laut. Pemeriksaan mendapati terdapat 20 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis," katanya.
Katanya pada 10.30 malam hari yang sama, pihaknya merampas 30.83 kg kanabis dengan nilai RM92,490 melalui pemeriksaan di kawasan pelantar Pulau Batu Layang, Kuala Perlis yang ditemukan dalam dua kotak ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan mendapati terdapat 30 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis. Kanabis adalah dadah yang telah disenaraikan di bawah Bahagian 1, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Ismail berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kanabis dirampas itu dipercayai untuk pasaran di negeri-negeri di utara dan Lembah Klang.
-- BERNAMA