AM

AFA PRIME Laksana Pelan Pengurusan Trafik Di LPT1 Untuk Projek Tebatan Banjir

30/03/2026 04:28 PM

KUANTAN, 30 Mac (Bernama) -- AFA PRIME Bhd akan melaksanakan Pelan Pengurusan Trafik di KM116 hingga KM117 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur bagi tempoh jangka sederhana bermula 1 April bagi pelaksanaan projek tebatan banjir Pakej 1A. 

AFA PRIME dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja projek itu akan dilaksanakan berperingkat untuk memastikan keselamatan pengguna lebuh raya dan kelancaran aliran trafik sentiasa terjamin.

“Pelan ini telah melalui penilaian teknikal yang menyeluruh termasuk Audit Keselamatan Jalan Raya serta pengesahan daripada pihak perunding dan jurutera bebas.

“Pelan ini turut mengambil kira aspek mitigasi risiko sebagai sebahagian daripada langkah penambahbaikan jangka panjang, khususnya di kawasan yang terdedah kepada risiko banjir,” menurut kenyataan itu. 

AFA PRIME akan terus melaksanakan pemantauan trafik dan keselamatan secara berterusan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi memastikan operasi di lokasi terlibat lancar dan selamat sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif AFA PRIME Vijayaraj Govindarajoo dalam kenyataan sama berkata inisiatif itu bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan semasa, malah memperkukuh aspek keselamatan dan kelestarian infrastruktur lebuh raya bagi jangka masa panjang.

“Kami komited untuk melaksanakan inisiatif ini secara terancang dan bersepadu dengan memastikan pengalaman perjalanan pengguna lebuh raya kekal lancar dan selesa sepanjang tempoh pelaksanaannya,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2538997