JOHOR BAHRU, 30 Mac (Bernama) -- Seorang kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas 16 pertuduhan dengan curang menggunakan harta milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur sebanyak RM141,872.67, sejak lima tahun lepas.
Muhammad Faiz Ibrahim, 36, yang juga Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Tertuduh yang juga Pengurus Ladang PPK Kota Tinggi Timur didakwa atas 16 pertuduhan iaitu dengan curangnya menjadikan bagi kegunaan sendiri, Buah Tandan Segar (BTS) sawit yang kesemuanya bernilai RM141,872.67 milik pertubuhan tersebut.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, selain boleh dikenakan sebatan serta denda.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas 16 pertuduhan pilihan melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan harta diamanahkan kepadanya iaitu BTS sawit yang keseluruhannya berjumlah RM141,872.67 milik pertubuhan itu untuk kegunaan sendiri dengan menjual buah berkenaan dan memasukkan hasil jualan ke dalam akaun miliknya.
Perbuatan itu menyebabkan tertuduh didakwa melakukan kesalahan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, selain boleh dikenakan sebatan serta denda.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 22 April 2021 hingga 15 Nov 2022 di PPK Kota Tinggi Timur, Pusat Kemajuan Peladang Mawai Baru di daerah Kota Tinggi.
Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alice Voon Mei Ling menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Bagaimanapun, Asiah Abd Jalil yang mewakili tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya yang sudah berkhidmat dengan LPP sejak 15 tahun lepas hanya bergaji RM4,000 sebulan.
Beliau berkata tertuduh yang menetap di Kulai telah memberikan kerjasama yang baik sejak kes itu mula disiasat pada November 2024.
Asiah berkata walaupun belum berkahwin, tertuduh yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik turut menyara ibu bapanya.
“Tertuduh kini sudah dipindahkan ke cawangan lain dan kes ini mungkin menyebabkan tertuduh boleh ditahan gaji,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 30 April depan bagi serahan dokumen.
-- BERNAMA