AM

Agong Dipersembahkan Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025

30/03/2026 12:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan dipersembahkan mengenai pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bertujuan menjadikan Internet lebih selamat untuk keluarga dan kanak-kanak di negara ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pelaksanaan akta berkenaan dipersembahkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada sesi menghadap di Istana Bukit Tunku di sini.

“Pelaksanaan ONSA bertujuan menjadikan Internet lebih selamat untuk keluarga dan kanak-kanak, melalui penetapan tanggungjawab yang jelas kepada platform dalam talian.

“Selain itu, ia berperanan sebagai pelaksanaan mekanisme pengesahan umur untuk hadkan kanak-kanak di bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial bagi melindungi keselamatan kanak-kanak dan juga keluarga,” menurut hantaran itu. 

Fahmi dalam hantaran sama memaklumkan akta itu juga dalam usaha menangani isu akaun palsu yang menyasarkan Raja-Raja Melayu serta Kerabat Diraja.

Hantaran itu turut dikongsikan Fahmi menerusi akaun Facebook rasmi beliau. 

Penguatkuasaan ONSA yang bermula 1 Jan, menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.   

ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.

Selain itu, ONSA terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). 

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2538870