DUNIA

Anggota Pengaman PBB Maut, Seorang Lagi parah Dalam Serangan Israel Di Selatan Lubnan

30/03/2026 10:54 AM

ISTANBUL, 30 Mac (Bernama-Anadolu) -- Misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada awal Isnin memaklumkan bahawa seorang anggota pengamannya maut manakala seorang lagi cedera parah selepas sebutir projektil meletup pada Ahad malam di satu daripada pos pasukan itu di selatan Lubnan.

Menurut pasukan itu, letupan berlaku berhampiran Adshit al-Qusayr di daerah Marjayoun, lapor Anadolu Ajansi.

“Kami tidak mengetahui dari mana projektil itu ditembak. Kami telah melancarkan siasatan bagi menentukan semua keadaan yang berlaku,” menurut pasukan itu di platform X.

Ia menambah bahawa serangan yang disengajakan terhadap anggota pengaman merupakan “pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu” serta boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), tembakan artileri Israel menyasarkan ibu pejabat kontinjen Indonesia yang berkhidmat bersama pasukan PBB di Adshit al-Qusayr.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2538836