DUNIA

Loji Pengeluaran Air Berat Khondab Iran Alami “Kerosakan Teruk”, Kata IAEA

30/03/2026 11:12 AM

ISTANBUL, 30 Mac (Bernama-Anadolu) -- Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Ahad mengesahkan bahawa “kerosakan teruk” telah berlaku ke atas loji pengeluaran air berat di Khondab, Iran, dan memaklumkan bahawa kemudahan itu “tidak lagi beroperasi”.

Pengesahan itu dibuat “berdasarkan analisis bebas terhadap imej satelit serta pengetahuan mengenai pepasangan berkenaan,” menurut IAEA menerusi platform media sosial X, lapor Anadolu Ajansi.

Agensi itu menambah bahawa tapak berkenaan tidak mengandungi sebarang bahan nuklear yang diisytiharkan.

Pada Jumaat, kemudahan itu menjadi sasaran serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Seluruh rantau itu berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Feb lepas, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2538834