KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melakar sejarah apabila tersenarai dalam kelompok 25 universiti terbaik dunia bagi bidang Teologi, Keagamaan dan Pengajian Agama dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) bagi penawaran kursus 2026.
Pencapaian itu meletakkan UIAM dalam kalangan 14 universiti di Malaysia, yang berjaya menembusi kelompok tangga ke-25 dalam pelbagai bidang pengkhususan tertentu, sekali gus mencerminkan peningkatan daya saing dan kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara pada peringkat global
Rektor UIAM Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata pengiktirafan itu memperkukuh komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan kecemerlangan akademik, khususnya dalam bidang pengajian Islam dan integrasi ilmu, selaras aspirasi UIAM sebagai peneraju pendidikan berteraskan nilai dan keilmuan.
“Pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen berterusan UIAM dalam mencapai kecemerlangan akademik, khususnya dalam bidang pengajian Islam dan kemanusiaan.
“Ia mencerminkan dedikasi para sarjana, penyelidik dan pelajar dalam memartabatkan ilmu yang relevan serta memberikan impak pada peringkat global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Osman berkata kejayaan itu juga selaras dengan hala tuju UIAM untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti global berteraskan nilai Islam dan memperteguh pegangan warga kampus terhadap epistemologi tauhidik.
Sementara itu, Dekan Kulliyyah Abdul Hamid AbuSulayman bagi Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS KIRKHS) Profesor Dr Hafiz Zakariya berkata pengiktirafan itu menjadi dorongan kepada fakultinya untuk terus mempertingkatkan kurikulum, kecemerlangan penyelidikan dan penglibatan global.
"Kedudukan dalam kelompok 25 terbaik dunia bagi bidang Teologi, Keagamaan dan Pengajian Agama merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi AHAS KIRKHS. Ia mencerminkan kualiti program akademik, hasil penyelidikan serta kerelevanan global pendidikan berasaskan ilmu wahyu dan warisan Islam serta sains kemanusiaan," katanya.
Penilaian QS WUR bagi tahun ini melibatkan lebih 21,000 program akademik daripada kira-kira 1,900 institusi pendidikan di seluruh dunia, menjadikan pengiktirafan itu amat kompetitif dan berprestij bagi penawaran kursus.
-- BERNAMA