AM

Solat Sunat Istisqa' Khamis Ini Mohon Hujan Di Seluruh Kedah

24/03/2026 07:27 PM

ALOR SETAR, 24 Mac (Bernama) -- Solat sunat Istisqa' akan diadakan secara serentak di seluruh Kedah pada Khamis ini bagi memohon hujan susulan cuaca panas berpanjangan yang sedang melanda.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mansor Zakaria berkata pelaksanaan solat sunat itu akan dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah masing-masing mengikut kesesuaian waktu pada hari berkenaan.

“Solat sunat ini diadakan susulan cuaca panas di negeri ini termasuk beberapa daerah yang berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian boleh mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

“Setakat ini, pembenihan awan dibuat pada peringkat pusat, tetapi peringkat negeri belum lagi, jadi kita cuba buat solat sunat … kita akan buat pada Khamis, setiap daerah akan ada tempat yang mereka aturkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kesemua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta hospital-hospital di Kedah berada pada tahap bersedia bagi kes-kes melibatkan cuaca panas, namun tiada kes strok haba direkodkan setakat ini di negeri ini.

“Dalam cuaca panas ini, saya nasihatkan rakyat Kedah supaya ambil langkah berjaga-jaga, terutamanya aktiviti luar, contohnya pergi beraya, program rumah terbuka, buat kayuhan dan aktiviti sukan, jadi kena kurangkan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa daerah di Kedah termasuk Pendang, Pokok Sena dan Baling dilaporkan berada pada tahap dua (gelombang haba) dan menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), 15 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu atau berjaga-jaga selepas merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2537221