AM

Anwar, Luxon Bincang Konflik Asia Barat, Malaysia Kecam Serangan Terhadap Iran

24/03/2026 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia mengecam keras serangan ketenteraan terhadap Iran serta menolak sebarang tindakan unilateral yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pendirian itu dinyatakan semasa perbualan telefon dengan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan menegaskan Malaysia terus menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam serta penyelesaian melalui saluran diplomasi.

“Sewaktu perbualan telefon dengan rakan sejawat saya dari New Zealand, Christopher Luxon, kami bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap keselamatan dan ekonomi global,” kata Anwar menerusi hantaran di laman Facebook.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu juga menyentuh kesan daripada konflik Iran-Israel terhadap sektor tenaga New Zealand termasuk peningkatan harga bahan api dan tekanan terhadap ekonomi domestik.

Perdana Menteri berkata beliau turut menyambut baik langkah proaktif kerajaan New Zealand dalam memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu.

“Dalam masa yang sama, kami menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama tenaga.

“Kami akan terus berhubung rapat dalam mendepani cabaran semasa demi kepentingan bersama,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2537083