AM

Ibu Tabah Teruskan Perniagaan Keropok Lekor, Realisasi Impian Anak Menerusi Pembiayaan Agrobank 

24/03/2026 09:53 AM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 24 Mac (Bernama) -- Tiada ujian yang lebih meluluhkan hati seorang ibu selain kehilangan anak yang menjadi sumber kekuatan dan harapan dalam hidupnya, begitulah juga yang dihadapi pengusaha keropok lekor di Kampung Sawah Dato’ di sini, Rosnita Wahab, 45.

Pemergian anak ketiganya, Muhammad Bakrishah Nor Hamizi atau lebih mesra dipanggil Damak dalam kemalangan jalan raya tahun lepas bukan sahaja merentap kasih sayang seorang ibu, malah meragut impian besar yang pernah mereka bina bersama untuk mengembangkan perniagaan keropok lekor keluarga.

Rosnita berkata walaupun hanya berusia 18 tahun, Damak menunjukkan minat mendalam dalam bidang perniagaan sejak usia muda, dengan tekad membantu ibunya menguruskan perniagaan, mempelajari selok-belok operasi dan sering menjadi tempat rujukan serta penasihat kecil dalam keluarga seawal usia 15 tahun. 

Lebih menyentuh hati, Damak ialah individu yang mencetuskan idea untuk memohon pembiayaan Usahawan Mikro Agrobank, yang menawarkan had pembiayaan hingga RM100,000 demi mengembangkan lagi perusahaan tersebut yang diusahakan keluarganya sejak 18 tahun lepas. 

“Damak yang cadangkan untuk buat pembiayaan, masa buat permohonan pun dia ada dengan saya, perancangannya nak beli mesin untuk buat keropok keping, jadi kami tak perlu lagi ambil stok di Terengganu, malah botol untuk pembungkusan sos pencicah pun sudah dibeli.  

"Damak berhasrat nak menyertai kursus bagi memantapkan lagi kemahiran dan belajar proses pembuatan keropok keping yang menghasilkan tekstur cantik seperti produk keluaran Terengganu agar tidak lagi bergantung bekalan dari luar, khususnya Terengganu,” katanya sebak ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Namun, kemalangan jalan raya yang meragut nyawa Damak membuatkan arwah tidak sempat melihat impiannya menjadi kenyataan dan lebih memilukan, permohonan pembiayaan berjumlah RM40,000 itu akhirnya diluluskan beberapa bulan selepas pemergiannya.

“Pembiayaan itu lulus tapi dia tak sempat tengok. Semua yang dia rancang, satu persatu mula jadi kenyataan tapi dia dah tiada,” kata Rosnita sambil menambah, tempoh pembiayaan diberikan Agrobank juga hingga tujuh tahun. 

Dengan semangat yang ditinggalkan anaknya, Rosnita gagahkan diri meneruskan perniagaan, malah sebahagian perancangan Damak kini sedang direalisasikan, termasuk usaha mendapatkan mesin untuk menghasilkan keropok keping sendiri serta pengeluaran sos pencicah. 

Tidak hanya itu, dia berkata sebuah cawangan baharu di Kampung Seri Lalang Laut turut dibuka awal tahun ini, yang juga antara impian Damak untuk meluaskan operasi perniagaan keluarga.

“Ini semua untuk dia. Niat dia nak besarkan perniagaan, saya cuma sambung apa yang dia mulakan,” katanya sambil menambah idea untuk meletakkan gambar Damak pada papan tanda perniagaan juga datang daripada arwah sendiri, sebagai strategi memperkukuh identiti jenama mereka.

Mengimbau permulaan perniagaan, Rosnita berkata dia yang berpengalaman dalam pembuatan keropok lekor memulakan perusahaan berkenaan bersama suaminya, Nor Hamizi Abdul Aziz, 50, menggunakan modal sendiri berjumlah RM17,000 bagi membeli mesin, ikan dan peti sejuk beku, selepas berhenti kerja akibat mengalami slip disc (cakram gelincir) kira-kira lapan tahun lepas. 

“Bila dah sakit, kita fikir kalau asyik cuti nanti bos marah, oleh itu berbincang dengan suami nak buka kedai sendiri. Mula-mula tu cuba buat sedikit kira-kira 10 kilogram ikan sehari, apabila dah ada pelanggan tetap barulah ditambah secara berperingkat. 

 "Alhamdulillah kini kita mampu menjana pendapatan kira-kira RM1,000 sehari dan meningkat hingga RM6,000 pada musim cuti atau perayaan, dengan purata bulanan boleh mencecah RM20,000,” katanya.

Rosnita berkata selain Mersing, produk mereka turut dipasarkan ke luar daerah termasuk Kluang, Batu Pahat dan Johor Bahru melalui pesanan pukal serta perkhidmatan penghantaran.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata pihaknya terus menawarkan kemudahan pembiayaan yang mudah diakses dan bersesuaian dengan keperluan usahawan mikro, termasuk pembiayaan berskala kecil, modal pusingan dan pembiayaan pengembangan perniagaan. 

“Agrobank memberikan penekanan kepada usaha meningkatkan ekonomi tempatan dengan memperkasakan aktiviti keusahawanan pada peringkat komuniti dengan tumpuan khusus kepada golongan berpendapatan rendah, supaya mereka berpeluang meningkatkan pendapatan dan memperbaiki taraf hidup,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya merancang untuk memperluas akses kepada pembiayaan mikro dan berskala kecil yang lebih fleksibel serta mudah diakses dalam memperkasakan usahawan kecil tahun ini, bagi membantu golongan berkenaan mendapatkan modal permulaan atau pusingan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"Justeru, kita berharap agar lebih ramai usahawan kecil dapat memperkukuh pengurusan kewangan, meningkatkan produktiviti serta memanfaatkan teknologi dan pendigitalan bagi memperluas pasaran mereka.

Beliau berkata Agrobank juga menggalakkan usahawan untuk sentiasa meningkatkan ilmu, berani meneroka peluang baharu termasuk pendigitalan, serta memanfaatkan kemudahan dan sokongan yang tersedia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2536932