KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Harga minyak boleh mencecah US$120 (US$1=RM3.93) setong jika pihak berkuasa Iran meneruskan ancaman mereka untuk menyerang lima kemudahan di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
Sekiranya serangan itu berlaku, Asia bakal menerima kesan paling hebat memandangkan kebergantungannya kepada bekalan minyak dari Qatar, kata seorang penganalisis.
“Jika serangan berjaya, ia bukan sahaja akan menganggu penapisan kondensat tetapi juga mengancam operasi tren yang membekalkan gas cecair asli (LNG) ke Eropah, Jepun, Korea Selatan dan China di bawah kontrak jangka panjang,” kata Naib Presiden Kanan Rystad Energy dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Aditya, pihak berkuasa Iran telah mengeluarkan amaran bahawa lima kemudahan di Arab Saudi, UAE dan Qatar ‘akan menjadi sasaran dalam tempoh beberapa jam akan datang’, sementara harga minyak telah melepasi paras US$110 setong.
Katanya, kemudahan tersebut ialah kilang penapisan SAMREF dan kompleks petrokimia Jubail, di Arab Saudi; medan gas Al Hosn di UAE; syarikat induk dan kompleks petrokimia Mesaieed serta kilang penapisan Ras Laffan di Qatar.
Aditya berkata jika kenyataan daripada agensi berita separa rasmi Tasnim, Iran itu menjadi kenyataan, dan kemudahan di Arab Saudi, UAE dan Qatar diserang, sekurang-kurangnya 700,000 tong sehari kapasiti produk ditapis akan dikeluarkan daripada pasaran global dalam sekelip mata, sekali gus mengganggu bekalan diesel, bahan api jet dan nafta di ketiga-tiga negara tersebut.
“Setakat ini, Iran telah melaksanakan sebahagian besar daripada segala tindakan yang dinyatakan, sekali gus menjadikan ini satu ancaman yang sangat boleh dipercayai.
“Sebarang gangguan di wilayah ini bukan sahaja menjejaskan bekalan serantau tetapi juga menganggu pasaran LNG global, dan Asia akan menanggung beban yang paling hebat memandangkan kebergantungannya kepada bekalan dari Qatar,” katanya.
Selain itu, Aditya berkata Arab Saudi telah diserang, tetapi bekalannya kekal tidak terjejas - satu faktor yang kritikal bagi pasaran minyak kerana sebarang gangguan kepada infrastruktur utama seperti pelabuhan Yanbu, boleh mengurangkan lima juta hingga enam juta tong sehari dari pasaran, dan berpotensi mendorong harga minyak meningkat kepada US$150 setong atau lebih tinggi.
“Bagi meletakkan skala itu dalam konteks, lima kemudahan itu tersebut secara kolektifnya menyumbang kira-kira 20 peratus daripada perdagangan LNG global, sehingga 10 peratus daripada import nafta Asia Pasifik dan lebih enam peratus daripada kapasiti polietilena global dalam keadaan tanpa pengganti jangka pendek,” tambahnya.
-- BERNAMA