Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
PUTATAN, 19 Mac (Bernama) -- Ketika Ramadan semakin menghampiri Syawal, sinar pelita yang berkelip-kelip pada waktu malam bukan sekadar menghiasi halaman rumah malah menghidupkan semula nostalgia lama dan mengeratkan silaturahim komuniti melalui budaya “bercucul” yang diwarisi turun-temurun.
Budaya memasang pelita atau ‘bercucul’ dalam kalangan masyarakat Kedayan dan Brunei merupakan identiti dan warisan yang masih kekal diamalkan sejak zaman-berzaman khususnya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Di Tanjung Keramat di sini, tradisi itu bukan sekadar dihidupkan semula malah turut diperkasa menerusi penganjuran pertandingan bercucul yang julung kali diadakan tahun ini.
Pertandingan anjuran Pejabat Ahli Parlimen Putatan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu berjaya menarik 45 penyertaan dari tujuh kampung, melebihi sasaran awal sebanyak 30.
Penduduk Kampung Pituru muncul juara kategori bercucul dengan menghasilkan binaan menyerupai gerbang masjid menggunakan kira-kira 280 hingga 300 pelita serta buluh.
Mazlan Maayud, 44, berkata pembinaan struktur setinggi 15 kaki dan selebar 30 kaki itu mengambil masa kira-kira seminggu dengan penglibatan enam individu.
“Rekaan gerbang masjid ini bukan sekadar hiasan tetapi kami mahu tampilkan sesuatu yang ada nilai dan makna... kami ambil inspirasi daripada Masjid Nurul Iman di Taman Pantai Lok Kawi sebagai tanda kenangan dan penghargaan kerana ia pernah terbakar pada 2016,” katanya kepada Bernama semalam.
Beliau berkata pembinaan itu turut memperlihatkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung.
“Kalau rasa seronok tu, memang satu pasukan kami rasa seronok... satu kampung, satu pasukan... gotong-royong ramai-ramai... memang meriah dan mengeratkan lagi hubungan sesama kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ngarimon Sakip, 61, pula berkata budaya bercucul bukan sekadar hiasan tetapi juga kenangan zaman kanak-kanak yang sarat dengan nilai kebersamaan.
Beliau bersyukur dengan penganjuran pertandingan itu dan berharap tradisi berkenaan terus dipelihara agar generasi muda tidak melupakan warisan nenek moyang.
“Kalau boleh kita teruskan supaya generasi akan datang tahu bahawa budaya bercucul ini memang sudah ada dari dulu sampai sekarang,” katanya.
Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya, yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation, berkata beliau terharu dengan sambutan masyarakat setempat yang menampilkan rekaan kreatif serta menarik.
“Ia merupakan inisiatif yang pertama kali diadakan bagi tujuan menyuntik lebih keceriaan dalam persediaan menyambut ketibaan 1 Syawal.
“Sambutan diterima amat menggalakkan apabila penyertaan melebihi sasaran awal sekitar 30 penyertaan sekali gus membuktikan minat dan sokongan masyarakat terhadap program ini... saya melihat ia bukan sahaja menceriakan suasana Aidilfitri malah memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan penduduk,” katanya.
Tradisi bercucul yang terus disemarakkan pada setiap Ramadan bukan sahaja menceriakan suasana kampung malah menjadi simbol penyatuan komuniti yang kekal relevan merentas zaman.
-- BERNAMA