JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Selamat Dua Mangsa Lemas Terima Penghargaan Bomba

17/03/2026 03:51 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki menerima penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor atas keberanian menyelamatkan dua mangsa daripada lemas di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi pada 1 Jan. 

Mohamad Danial Md Sanin, 36, berkata kejadian berlaku semasa dirinya yang beriadah di situ bersama-sama keluarga terdengar jeritan meminta tolong dari arah pantai sebelum menyedari mangsa dihanyutkan ombak ke tengah laut.

“Secara spontan, saya bergegas ke laut untuk membantu dan berjaya menarik kanak-kanak sembilan tahun dan remaja 16 tahun ke pantai. 

“Alhamdulillah pasukan penyelamat dan perubatan mengesahkan dua mangsa itu selamat dan terus dibawa ke hospital,” katanya kepada Bernama pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Johor di ibu pejabat negeri jabatan itu di sini hari ini.

Bapa kepada dua anak itu berkata terharu menerima sijil penghargaan yang disampaikan Pengarah JBPM Johor Siti Rohani Nadir. 

Sementara itu, Siti Rohani berkata sebanyak 25 individu yang membantu pasukan bomba menerima sijil penghargaan termasuk pengamal media pelbagai agensi yang merangkumi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

Pada perkembangan lain, Siti Rohani berkata pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Sentral yang dijangka siap pada 2027 akan meningkatkan liputan serta mempercepat tempoh tindak balas kecemasan di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata sebuah lagi BBP dirancang di Simpang Renggam manakala BBP di Larkin dan Kluang sedang dinaik taraf.

“JBPM Johor turut menerima lapan jentera Fire Rescue Tender (FRT) baharu dengan satu daripadanya dilengkapi meriam air yang mampu menyembur sejauh kira-kira 60 meter serta empat kenderaan ringan operasi (LOV) bagi meningkatkan prestasi masa respons,” katanya. 

Selain itu, Siti Rohani berkata mereka bersama-sama pihak swasta sedang membangunkan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti mendapatkan ilmu kebombaan dan langkah keselamatan ketika kecemasan, dengan jangkaan boleh digunakan hujung tahun ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535316