AM

Pencari Buluh Tidak Menang Tangan Siapkan Tempahan Pelanggan Menjelang Aidilfitri

17/03/2026 01:23 PM

ALOR GAJAH, 17 Mac (Bernama) -- Bagi pencari buluh, ketibaan Ramadan setiap tahun memberi peluang kepada mereka menambah rezeki apabila permintaan terhadap buluh lemang meningkat mendadak berbanding hari biasa.

Mohd Alias Mohd Hashim, 51, dari Felda Hutan Percha berkata beliau menerima tempahan kira-kira 500 batang buluh daripada penduduk sekitar Melaka untuk dijadikan lemang sebagai juadah istimewa menjelang 1 Syawal nanti.

“Tempahan diterima sebelum Ramadan lagi, jadi saya dan seorang rakan mula mencari buluh dalam hutan sekitar Alor Gajah dan Tampin untuk dijadikan bekalan awal bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Selalunya saya pergi mencari buluh pada waktu pagi dan pulang sebelah petang, serta menyimpan buluh-buluh berkenaan di rumah,” katanya kepada Bernama.

Mohd Alias yang juga penoreh getah berkata seminggu menjelang Ramadan, pelanggan-pelanggan yang membuat tempahan mula datang ke rumahnya untuk mengambil buluh lemang mereka.

Mohd Alias berkata beliau menjual buluh lemang itu dengan harga RM2 sebatang dan mampu memperoleh sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sepanjang Ramadan ini.

Selain itu, beliau juga membuka gerai menjual lemang, terutama tiga hari sebelum sambutan Aidilfitri dan dijual dengan harga bermula RM12 hingga RM16 sebatang, bergantung pada saiz.

“Isteri saya pula menyiapkan rendang ayam kampung maman yang dijual dengan harga RM10 sebekas bagi melengkapkan lagi juadah yang akan dihidangkan kepada tetamu.

“Sepanjang tempoh tiga hari itu, kami bersengkang mata untuk menyiapkan buluh, lemang dan rendang untuk dijual kepada pelanggan dan akan sambung berniaga pada hari raya kedua jika ada lagi tempahan daripada pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535267