Oleh Anis Nabilla Md Wazilah
KUANTAN, 17 Mac (Bernama) -- Suasana di studio fotografi di sekitar bandar raya ini kini kian rancak menjelang sambutan Aidilfitri apabila trend merakam potret raya secara profesional menjadi pilihan ramai, khususnya keluarga muda bagi mengabadikan kenangan Syawal mereka.
Tinjauan Bernama mendapati beberapa studio menyediakan set dekorasi pelbagai konsep seawal seminggu sebelum Ramadan dengan menawarkan pakej harga antara RM100 hingga RM240, bergantung kepada saiz keluarga serta perkhidmatan tambahan.
Terdapat juga pakej yang menyediakan khidmat jurusolek bagi memastikan setiap ahli keluarga tampil berseri dan segak sepanjang sesi penggambaran berlangsung.
pic-2
Jurugambar Muhammad Shahrul Eizwan Mohd Sukri, 27, berkata permintaan tahun ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lepas, didorong pengaruh media sosial serta perubahan cita rasa masyarakat yang menginginkan hasil gambar lebih estetik dan berkualiti tinggi.
“Seminggu sebelum Ramadan kami sudah mula terima tempahan selepas mempromosikan latar belakang yang diketengahkan pada tahun ini, dua konsep iaitu ‘old money’ dan ‘minimalist’ menerusi platform media sosial,” katanya.
Muhammad Shahrul Eizwan yang telah berkecimpung dalam bidang fotografi sejak sembilan tahun lepas berkata slot penggambaran pada penghujung Ramadan kini hampir penuh dan sesi dijalankan sama ada pada waktu siang atau malam bagi memenuhi permintaan pelanggan.
pic-3
Pengasas Sharul Eizwan Production Studio itu turut menyediakan pelbagai aksesori tambahan seperti pelita, sampul duit raya dan wang kertas bagi menghidupkan suasana serta menambah seri pada hasil akhir gambar.
Muhammad Shahrul Eizwan yang juga jurugambar perkahwinan mengakui inisiatif menyediakan studio raya tersebut menjadi sumber pendapatan alternatif buat jurugambar sepanjang Ramadan, memandangkan ketiadaan tempahan majlis perkahwinan pada bulan berkenaan.
Bagi suri rumah, Puteri Nursyafiqah Najwa Mohd Rizal, 27, dia dan suami Mohd Syafiq Fauzan Jaafar, 28, memilih studio profesional kerana faktor pencahayaan yang lebih teratur serta bimbingan jurugambar berpengalaman untuk ‘beraksi’ di depan kamera.
pic-4
“Hasilnya nampak kemas dan profesional malah gambar yang diberikan sudah siap diedit, jadi mudah untuk kami gunakan sebagai gambar kenangan serta dijadikan kad digital dan ucapan Selamat Hari Raya untuk dikongsi bersama keluarga serta rakan-rakan nanti,” katanya.
Siti Jamilah Mohamed, 30, pula berkata dekorasi unik dan harga berpatutan menjadi tarikan utama untuk mencuba pengalaman bergambar di studio buat kali pertama sehingga sanggup datang dari Kemanan, Terengganu ke Kuantan.
“Saya tengok menerusi media sosial ramai yang muat naik ambil gambar di studio, jadi saya nak cuba dan rasa pengalaman itu serta menganggap ia sesuai untuk kenangan gambar raya bersama suami,” katanya.
-- BERNAMA