AM

Aidilfitri: Persiapan Saat Akhir, Gerai Sekitar Kota Bharu Kembali Meriah

17/03/2026 12:02 PM

KOTA BHARU, 17 Mac (Bernama) -- Suasana sambutan Aidilfitri semakin terasa di bandar ini apabila deretan gerai menjual pakaian, kuih raya dan bahan masakan kembali meriah dengan kehadiran orang ramai yang membuat persiapan pada saat akhir.

Tinjauan Bernama di hadapan Masjid Jamek Muhammadi serta sekitar Pasar Siti Khadijah mendapati suasana membeli-belah kian rancak sejak pagi, apabila pengunjung mengambil peluang mencari kelengkapan bagi menyambut Syawal.

Pengunjung Che Khadijah Che Yusof, 44, berkata kesibukan kerja menyebabkan dia terpaksa melakukan persiapan saat akhir tahun ini dan kesempatan ini digunakan untuk mendapatkan baju dan kasut raya untuk tiga anaknya.

“Biasanya saya beli lebih awal, tetapi tahun ini agak sibuk dengan kerja. Hari ini baru sempat keluar membeli keperluan anak-anak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Che Khadijah berkata promosi dan jualan lelong yang diadakan peniaga, turut mendorongnya mengambil peluang membeli lebih pakaian untuk dipakai pada Syawal kali ini.

Pengunjung dari Tumpat, Zainun Abdul Rahman, 63, yang datang bersama suami Mahadi Deraman, 69, berkata promosi dengan tawaran harga berpatutan mendorongnya untuk membeli beberapa helai kurta sebagai hadiah kepada pelajar pondok.

Sementara itu, pemilik gerai pakaian di hadapan Masjid Jamek Muhammadi Mohd Lokman Mohd Nor, 55, berkata promosi jualan telah diadakan sejak awal Ramadan itu bagi menarik lebih ramai pelanggan ke gerai jualannya.

Dia menjual pelbagai barangan keperluan seperti kurta, jubah, kain pelikat, sejadah dan minyak wangi dengan harga promosi sekitar RM100 bagi tiga hingga empat helai pakaian tertentu.

Mohd Lokman berkata jumlah pelanggan biasanya meningkat menjelang penghujung Ramadan apabila orang ramai sibuk membuat persiapan terakhir sebelum Aidilfitri.

Seorang lagi peniaga Muhammad Mohd Asri, 27, berkata gerainya yang menjual kopiah, kurta dan jubah dibuka dari 9 pagi hingga hampir tengah malam bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya kopiah yang dijual serendah RM18 mendapat sambutan terutama pada waktu tengah hari hingga malam, apabila orang ramai mula keluar membeli-belah selepas waktu bekerja.

Di Pasar Siti Khadijah pula, peniaga kuih raya Nor Azura Hassan, 45, berkata permintaan terhadap kuih tradisional meningkat ketara dalam beberapa hari terakhir Ramadan.

Warga emas, Zainab Ismail, 63, berkata dia membeli bahan masakan seperti santan, rempah dan ayam untuk menyediakan hidangan tradisional untuk hidangan keluarganya walaupun pelbagai makanan siap dijual di pasaran.

Menurutnya, memasak sendiri masih menjadi tradisi keluarga setiap kali Aidilfitri kerana ia memberi makna tersendiri kepada sambutan perayaan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535215