AM

Johor Kekal Destinasi Pilihan Warga Singapura Beli Kelengkapan Raya

17/03/2026 10:35 AM

JOHOR BAHRU, 17 Mac (Bernama) -- Johor terus menjadi destinasi pilihan warga Singapura untuk mendapatkan kelengkapan Hari Raya meskipun pengukuhan ringgit sedikit mengecilkan kelebihan kuasa beli mereka. 

Kepelbagaian produk, harga kompetitif dan pengalaman membeli-belah yang meriah dilihat menjadi tarikan utama kebanyakan pengunjung dari negara jiran itu yang ditemui Bernama baru-baru ini.

Tinjauan Bernama di Angsana Johor Bahru Mall mendapati pengunjung dari republik itu masih aktif membeli pakaian raya, kuih-muih dan pelbagai barangan perhiasan menjelang sambutan perayaan yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Setakat 16 Mac, kadar tukaran menunjukkan 1 dolar Singapura bersamaan kira-kira RM3.08, berbanding sekitar RM3.30 pada tempoh sama tahun lepas sekali gus mengurangkan jumlah ringgit hasil pertukaran mata wang.

Bagi Qaseh Adalina Md Noor, 35, perubahan kadar itu tidak menjejaskan perancangan keluarganya yang lazimnya memperuntukkan 400 dolar Singapura. 

“Kalau tahun lepas 400 dolar Singapura boleh dapat kira-kira RM1,328, sekarang sekitar RM1,232 sahaja, tetapi Johor tetap pilihan kerana barangan raya banyak dan harga masih berbaloi,” katanya.

Siti Sharmella Mustapha, 38, berkata perbelanjaan keluarganya untuk tahun ini sekitar 350 dolar Singapura (RM1,078), meningkat daripada 310 dolar (RM1,029) tahun Sebelumnya.

“Satu trip sahaja tidak cukup, jadi kami turun beberapa kali kerana pilihan barangan lebih banyak dan sesuai citarasa keluarga. Malah kami sudah mula membeli sejak minggu pertama Ramadan,” katanya.

Sirajudin Ab Mutalib, 47, memilih untuk datang pada hari bekerja bagi mengelak kesesakan hujung minggu, dan kebiasaannya membelanjakan sehingga 420 dolar Singapura (RM1,294) untuk pakaian, hiasan rumah dan barangan dapur.

“Kalau datang hari biasa suasana lebih tenang dan senang untuk pilih barang serta banding harga,” katanya.

Muhammad Hidafi, 34, pula berkata pengalaman merasai kemeriahan suasana menjelang Aidilfitri di Johor sudah menjadi satu daripada perkara yang dinantikannya sekeluarga.

“Kebiasaannya kami akan masuk Johor beberapa kali sepanjang Ramadan untuk membeli kelengkapan raya. Anak-anak pun suka kerana suasana di sini lebih meriah. Malah, kemudahan di Johor juga sesuai untuk seisi keluarga,” katanya yang sedang sibuk memilih baju raya anaknya Haider Afiy, 4.

Kehadiran warga Singapura menjelang Aidilfitri memberi limpahan positif kepada peniaga tempatan, khususnya peruncit pakaian tradisional dan pengusaha kuih raya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi membeli-belah utama bagi pengunjung dari republik berkenaan. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535175