KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pendakwah bebas Zamri Vinoth didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, bulan lepas.
Zamri Vinoth, 42, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
“Faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah,” katanya yang berada di kandang tertuduh dengan memakai kot berwarna biru.
Mengikut pertuduhan, Zamri Vinoth didakwa telah membuat kenyataan di akaun Facebook miliknya "Zamri Vinoth", pada 12.22 tengah hari, 3 Feb lepas, yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan itu telah dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun di Restoran Nasi Kandar Kudu, Jalan Tunku Abdul Rahman.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan kes.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Nordin Ismail, Izzat Amir Idham dan Nur Farhana Mohamad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hariz Md Yusoff.
Terdahulu, Mohd Nordin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana jumlah jaminan itu adalah munasabah.
"Lebih kurang 100 laporan polis telah dibuat hingga 3 Feb lepas...jadi ini yang kita katakan bahawa perkara menyebabkan kegentaran awam. Jumlah jaminan bukan satu kekangan kepada tertuduh, namun kami serahkan kepada budi bicara mahkamah," katanya.
Muhammad Hariz pula memohon jumlah jaminan minimum atas alasan kehadiran anak guamnya ke mahkamah hari ini adalah dengan kerelaan hati, bukan ditangkap.
"Anak guam saya tidak pernah menerima sebarang notis yang memerlukannya hadir ke balai polis untuk memberi keterangan atau dikehendaki menghadapi pertuduhan hingga dia dilarang ke luar negara," katanya.
Menurut peguam itu, Zamri Vinoth pergi ke Thailand pada 9 Mac lepas bukan untuk melarikan diri, sebaliknya berada di negara jiran bagi menguruskan pernikahan pasangan dan pulang ke Malaysia pada 12 Mac iaitu sehari sebelum Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengeluarkan kenyataan media.
Muhammad Hariz berkata dalam keadaan ketiadaan sebarang bukti, Zamri Vinoth berhak pergi ke mana sahaja kerana dia mempunyai perniagaan di Thailand.
“Untuk rekod, pas sempadan dan pasport anak guam menunjukkan dia keluar ke Thailand sejak 2017 bagi menguruskan pernikahan individu atau pasangan, yang juga merupakan kerjasama baik antara pihak Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand dengan Majlis Agama Islam Perlis serta menjalankan perniagaan terpakai yang memerlukan dia masuk untuk mengambil stok," katanya.
Peguam itu berkata beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah kerana tujuan jaminan adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah, bukan untuk mengenakan beban keterlaluan kepadanya.
“Pada peringkat ini, kita tidak menyentuh mengenai merit kes kerana perkara itu akan diputuskan oleh mahkamah pada perbicaraan nanti. Pada peringkat ini, mahkamah hanya menetapkan jaminan bagi memastikan kehadiran tertuduh.
"Selain itu, kehadiran anak guam di mahkamah hari ini bukan kerana beliau ditangkap pihak polis atau mana-mana pihak berkuasa, tetapi hadir secara sukarela dengan kerjasama penuh dan bagi menghadapi pertuduhan untuk membersihkan namanya melalui proses mahkamah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, siasatan terhadap penceramah bebas itu berhubung kenyataannya pada perhimpunan 7 Feb lepas, telah dirujuk kepada Pejabat Jabatan Peguam Negara.
-- BERNAMA