KOTA KINABALU, 14 Mac (Bernama) -- Kerajaan MADANI terus mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak demi memastikan kos pengangkutan, logistik serta harga barangan keperluan harian rakyat di kedua-dua wilayah itu tidak naik secara mendadak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata langkah itu sangat penting bagi melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan yang amat bergantung pada pengangkutan darat dan laut untuk bekalan barangan.
Beliau berkata dunia ketika ini sedang berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik susulan ketegangan melibatkan Iran di Asia Barat yang melonjakkan harga pasaran tenaga global, dan kesannya turut dirasai oleh rantaian ekonomi negara.
"Hakikatnya, kerajaan kini menanggung kira-kira RM3.2 bilion setiap bulan untuk subsidi petrol dan diesel, iaitu kira-kira RM2 bilion bagi RON95 dan RM1.2 bilion bagi diesel. Ini membuktikan komitmen besar kerajaan dalam melindungi rakyat daripada kejutan ekonomi global," katanya dalam kenyataan malam ini.
Mustapha berkata selain diesel, kerajaan turut melindungi rakyat dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui pendekatan subsidi bersasar BUDI MADANI, berbanding harga pasaran sebenar yang dianggarkan RM2.67 seliter.
Malah, beliau berkata harga bahan api di Malaysia masih antara yang paling rendah di ASEAN jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Thailand yang mencecah kira-kira RM4 seliter, Indonesia (RM3 hingga RM3.50 seliter) dan Singapura (RM8 hingga RM10 seliter).
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati rakyat agar memahami realiti ekonomi semasa dan menggunakan kemudahan subsidi dengan lebih berhemat.
"Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kita perlu kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi, dan terus bersatu sebagai rakyat Malaysia," katanya sambil menambah kerajaan akan terus mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kestabilan ekonomi negara.
-- BERNAMA