POLITIK

PKR Teguh Prinsip Kemajuan Negara Untuk Semua, Bukan Hanya Golongan Elit - Anwar

13/03/2026 09:10 PM

KUCHING, 13 Mac (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) kekal berpegang pada prinsip bahawa kemajuan negara mesti dinikmati oleh semua lapisan rakyat, bukan hanya segelintir golongan elit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata sejak penubuhan, parti berkenaan menjadi wadah perjuangan untuk membawa perubahan, menegakkan keadilan serta mengangkat martabat rakyat di seluruh negara.

“Petang tadi saya berkesempatan menghadiri Mini Konvensyen PKR lantas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang peringkat Sarawak. 

“Saya anggap pertemuan bersama keluarga besar parti amat penting kerana PKR tidak sekadar organisasi politik tetapi merupakan wadah yang lahir dari tekad untuk membawa perubahan, menegak keadilan dan mengangkat martabat rakyat seluruhnya,” kata beliau dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata PKR juga konsisten membawa suara masyarakat pelbagai kaum dan wilayah, termasuk memperjuangkan isu tanah adat di Sarawak serta kebajikan rakyat di Sabah, Kelantan, Perlis dan Johor.

Anwar berkata negara hanya akan aman dan kuat apabila kepentingan bersama diletakkan sebagai asas perjuangan melangkaui sentimen sempit kaum, daerah mahupun kelompok. 

Pada konvensyen berkenaan, beliau turut menyeru pimpinan, anggota dan aktivis parti agar terus memperkukuh saf perjuangan serta komited dalam usaha melaksanakan agenda reformasi.

“Saya turut menegaskan betapa ujian sebenar untuk melaksanakan perubahan atau reformasi adalah pada saat berkuasa, bukan sesudah tidak berkuasa atau telah tersingkir. 

“Saya akui bahawa tidak semua reformasi yang kita dambakan itu dapat kita lakukan secepat yang kita mahu, tapi yang penting kita mesti konsisten dan menginsafi bahawa kita tidak ‘perfect’ (sempurna) dan menjalankan kerja dengan sebaik dan sedayanya.

“Kekuatan saya hari ini berpaksi pada kekuatan parti iaitu cabang, ranting, Angkatan Muda serta sayap Wanita yang terus menyemarakkan semangat kita untuk menjelmakan Malaysia yang adil, makmur dan bermaruah,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534167